Ultras Malaya atau UM’07 menerusi kempan KBSKR (Kembalikan Bola Sepak Kepada Rakyat) kemuat naik kenyataan tegas menuntuk remformasi dalam bola sepak Malaysia agar dibuat secara menyeluruh.
Tuntutan pertama UM’07 adalah mahu kerajaan tarik balik kerakyatan 7 pemain warisan yang baru baru ini terpalit dengan skanda pemalsuan dokumen.
Ultras Malaya berpendapat, ketika isu pemalsuan dokumen, kerakyatan pemain, masalah pengurusan dan budaya ‘lepas tangan’ terus dipersoalkan.
Seterunysa muncul pula naratif tidak berasas bahawa penyokong yang bersuara hanyalah kelompok yang mahu mencetuskan kekecohan.
UM’07 berkata: “Menuntut akauntabiliti bukan liabiliti. Yang menjadi liabiliti ialah sistem yang takut disemak.”
Ultras Malaya menegaskan mereka tidak menuntut jawatan atau mahu mengambil alih mana-mana institusi bola sepak negara. Apa yang dituntut hanyalah tanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat.
Antara tuntutan utama yang dibangkitkan ialah desakan supaya kerakyatan tujuh pemain disemak semula sekiranya proses mendapatkannya didapati tercemar dengan unsur pemalsuan dokumen.
Menurut mereka, kerakyatan sebelum ini diberikan melalui budi bicara menteri bagi membolehkan pemain beraksi bersama Harimau Malaya. Namun jika asas proses itu sendiri bermasalah, keputusan tersebut tidak boleh dianggap selesai begitu sahaja.
“Ini bukan soal membenci pemain. Ini soal proses. Ini soal integriti negara. Ini soal maruah bola sepak Malaysia.”
Kegagalan menyemak semula perkara itu hanya akan mewujudkan spekulasi bahawa sebarang proses boleh diteruskan walaupun timbul keraguan terhadap integritinya.
Tuntutan kedua UM’07 turut mahu skuad Harimau Malaya dikembalikan sepenuhnya di bawah struktur rasmi FAM demi memastikan akauntabiliti lebih jelas.
Menurut mereka, isu sebenar bukan soal percaya atau tidak kepada FAM semata-mata, tetapi memastikan setiap keputusan mempunyai pihak yang boleh dipertanggungjawabkan.
“Bila berlaku kegagalan, mesti jelas siapa bertanggungjawab. Bila berlaku skandal, mesti jelas siapa menjawab,” tegas kenyataan itu lagi.
Mereka berpandangan budaya saling menolak tanggungjawab antara pihak berkaitan hanya memburukkan lagi keadaan dan menunjukkan struktur pengurusan sedia ada mempunyai masalah asas.
Dalam masa sama, UM’07 menyifatkan masalah bola sepak Malaysia jauh lebih besar daripada sekadar isu pemalsuan dokumen atau tunggakan gaji.
Jadi, tuntutan ketiga UM’07 adalah mendesak agar bola sepak Malaysia direformasi sepenuhnya. Ini kerana menurut UM’07, bola sepak tempatan terlalu lama dijadikan alat kepentingan peribadi dan medan permainan kuasa oleh pihak tertentu.
“Selagi bola sepak diurus sebagai projek kuasa, bukan amanah rakyat, masalah ini akan terus berulang.”
Menurut mereka, situasi itu menyebabkan banyak pasukan dibina atas kepentingan sementara. Apabila perhatian atau modal hilang, kelab ditinggalkan dalam keadaan tidak stabil sehingga pemain, fasiliti dan akar umbi menjadi mangsa.
Akhir sekali Ultras Malaya turut mempersoalkan pihak yang mengkritik gerakan tersebut, sambil menegaskan bahawa tuntutan reformasi tidak seharusnya dianggap ancaman kepada bola sepak negara.
“Adakah kamu mempertahankan bola sepak Malaysia, atau kamu sedang mempertahankan budaya tidak perlu menjawab?”
Mereka menegaskan penyokong tidak sepatutnya hanya diperlukan untuk membeli tiket, membeli jersi dan memenuhi stadium, tetapi diminta berdiam diri apabila keputusan besar dipersoalkan.
Oleh itu reformasi menyeluruh perlu dilakukan sekarang supaya generasi akan datang tidak terus mewarisi masalah sama yang berulang saban tahun.
UM’07 melanjutkan: “Menuntut akauntabiliti bukan liabiliti, yang menjadi liabiliti ialah sistem yang takut disemak. Yang menjadi liabiliti ialah pemegang amanah yang tidak mahu menjawab dan bertanggungjawab.
“Yang menjadi liabiliti ialah budaya bola sepak yang mahu penyokong hadir, bersorak, membeli tiket, membeli jersi, memenuhi stadium tetapi diam apabila keputusan besar dipersoalkan.
“KBSKR bukan gerakan untuk merampas kuasa, KBSKR adalah tuntutan supaya kuasa tidak terus disalahgunakan. Tiga tuntutan. Tunaikan.”