Legenda, Roy Keane dilihat masih tidak yakin bahawa Michael Carrick adalah individu yang tepat untuk membawa Manchester United kembali ke puncak bola sepak.

Hakikat itu disuarakan Keane walaupun Carrick sudah menunjukkan prestasi yang mengagumkan ketika memegang jawatan pengurus sementara di Old Trafford hingga membawa United kembali ke saingan UEFA Champions League (UCL).

Bekas kapten legenda itu telah menyuarakan kebimbangan besar ketika kelab bersedia untuk menyerahkan tugas pengurus kepada Carrick secara tetap selepas pasukan menamatkan saingan di tempat ketiga dalam English Premier League (EPL) 2025/26.

Selepas kemenangan 3-2 Manchester United ke atas Nottingham Forest malam tadi, Roy Keane memberikan penilaian yang tegas mengenai cabaran yang bakal dihadapi oleh Michael Carrick.

Pendapat Keane Tentang Carrick

Walaupun menjalankan tugas dengan baik, Keane percaya bahawa tugas sebenar sebenarnya baru sahaja bermula.

“Ya, dia berada di ‘tempat pemandu’ sejak beberapa bulan lalu,” ujar Keane menurut sumber laporan Goal.

“Saya rasa tugas yang diberikan kepadanya adalah untuk membawa pasukan ke UEFA Champions League, dan mereka berjaya melakukannya, tetapi masih ada masalah besar yang menanti.”

“Adakah dia benar-benar pilihan terbaik yang ada? Kita jelas tidak tahu pengurus lain yang mereka berbincang dengan. Tetapi hakikat bahawa dia memenangi perlawanan bola sepak.”

“Namun masih ada masalah besar di Manchester United. Masalah yang sangat besar.”

Kebimbangan utama Roy Keane tertumpu kepada bagaimana Michael Carrick akan mengendalikan tempoh sukar yang sememangnya tidak dapat dielakkan apabila mengurus Manchester United.

Beliau mempersoalkan sama ada pelantikan itu dibuat atas dasar mahu kestabilan, bukannya mengejar kecemerlangan di tahap tertinggi.

“Jadi itulah cabaran besarnya dan sudah tentu dalam beberapa bulan akan datang, setiap kali mereka melalui sedikit tempoh sukar, persoalannya ialah adakah dia mempunyai pengalaman untuk menghadapinya?”

“Dia pernah mengurus Middlesbrough sebelum ini, dia juga pernah melalui beberapa tempoh di United. Dia mendapat peluang ini dan semoga berjaya untuknya.”

“Jika dia berjaya, baguslah. Saya masih ada keraguan tetapi kita tunggu dan lihat sahaja. Ia kelihatan seperti keputusan yang selamat daripada sudut pandang kelab kerana keputusan mereka sebelum ini memakan diri sendiri.”

“Carrick datang dan menenangkan keadaan, dan mereka mula memenangi beberapa perlawanan bola sepak. Bagi saya, ini adalah keputusan paling selamat, dan kadang-kadang tiada salahnya dengan perkara itu,” tambah Keane lagi.

Sumber