Manchester United kini berada di ambang kembali ke Liga Juara-Juara selepas tempoh cemerlang Michael Carrick sebagai pengurus sementara diteruskan dengan kemenangan sengit 2-1 ke atas Brentford.

The Red Devils kembali menunjukkan kebangkitan sejak bekas pemain tengah itu mengambil alih pada Januari, sekali gus mendorong legenda Liverpool, Jamie Carragher menyatakan bahawa Carrick pasti akan diberikan jawatan tersebut secara tetap.

Jangkaan semakin meningkat bahawa Carrick akan diberikan tanggungjawab mengemudi Old Trafford secara tetap selepas membawa Manchester United semakin hampir ke kelompok elit Eropah.

Selepas kemenangan English Premier League (EPL) ke atas Brentford, Carragher menegaskan bahawa kini tiada lagi keraguan bahawa pengurus sementara itu akan memimpin kelab ke musim depan.

Bekas pertahanan Liverpool itu turut memuji fleksibiliti taktikal yang ditunjukkan oleh bekas pemain tengah United tersebut sejak beliau mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ruben Amorim.

Carragher Anggap Pencapaian Carrick Luar Biasa

“Dia pasti akan menjadi pengurus Manchester United, sekurang-kurangnya untuk musim depan, tiada keraguan tentang itu, dan tidak boleh mengatakan dia tidak layak,” ujar Carragher menurut sumber laporan Goal.

“Keputusan yang mereka capai memang luar biasa. Itu adalah keputusan seperti pasukan juara, atau pasukan yang sedang memburu kejuaraan liga.”

“Saya tahu tekanan itu belum dirasai Manchester United ketika ini, mereka tiada perlawanan Eropah dan faktor lain juga memainkan peranan, tetapi saya rasa tiada siapa yang boleh datang dan melakukan lebih baik dari segi keputusan.”

“Kritikan terbesar terhadap Ruben Amorim ialah dia tidak pernah menyesuaikan diri, tetapi Carrick telah menunjukkan bahawa dia mampu beradaptasi,” tambah beliau lagi.