Legenda Manchester United, David Beckham tanpa berselindung melontarkan pujian tinggi terhadap pengendali sementara kelab tersebut, Michael Carrick.
Beckham menyifatkan Carrick telah membawa tahap kestabilan yang sudah lama tidak dilihat di Old Trafford sejak sedekad lalu.
Bekas pemain tengah itu percaya rakan sepasukannya dalam skuad England suatu ketika dahulu memiliki karakter yang sesuai untuk membimbing The Red Devils melalui fasa peralihan semasa, selain mampu memastikan tempat ke UEFA Champions League (UCL) musim hadapan.
Michael Carrick telah mengemudi kebangkitan luar biasa sejak menggantikan Ruben Amorim pada 13 Januari lalu.
Dalam tempoh 75 hari mengendalikan pasukan, pengurus berusia 44 tahun itu telah mengharungi 10 perlawanan EPL dengan mencatatkan tujuh kemenangan, dua keputusan seri dan hanya satu kekalahan.
Prestasi ini jelas berbeza berbanding ketika dibimbing Amorim, di mana jurulatih dari Portugal itu mengendalikan 20 perlawanan liga musim ini sebelum dipecat, dengan lapan kemenangan, tujuh keputusan seri dan enam kekalahan untuk mengumpul hanya 31 mata.
Beckham Puji Impak Besar Carrick
Sehubungan dengan aksi cemerlang mengemudi pasukan, Beckham jelas senada dengan Wayne Rooney dalam memuji sumbangan Carrick.
“Ya, saya harus akui, beberapa bulan kebelakangan ini jauh lebih selesa berbanding 10 tahun lalu, sejujurnya,” ujar Beckham menurut sumber laporan Goal.
“Tempoh itu memang sukar. Tetapi saya fikir Michael mempunyai pengalaman. Dia juga ada ketenangan yang dibawanya ke dalam kelab.”
“Dia kenal kelab ini. Dia kenal pemain-pemain. Dia tahu cara Manchester United bermain dan bagaimana mereka sepatutnya bermain.”
“Saya memang sentiasa menyukai Michael sebagai jurulatih. Bila anda lihat dia, ada ketenangan. Di tepi padang pula, saya tak pasti nak panggil apa, mungkin bukan ‘elegan’ tetapi ada satu gaya tersendiri pada dirinya, sama ada cara dia meraikan kemenangan atau cara dia menunjukkan kemarahan. Semua itu penting bagi seorang pengurus.
“Saya rasa cara dia mengurus dan menyatukan pasukan ini memang luar biasa. Dan sebagai penyokong United, itulah yang kita perlukan,” tambah legenda itu lagi.