Prestasi membanggakan Manchester United sejak dibawah kendalian Micheal Carrick menyaksikan Wayne Rooney menyeru kelab tersebut menjadikan bekas rakan sepasukannya itu sebagai pengurus tetap The Red Devils.
United kini cemerlang di tangga ketiga English Premier League (EPL) 2025/26 hasil 15 kemenangan, sembilan keputusan seri dan enam kekalahan untuk mengumpul 54 mata.
Awal pagi tadi di Old Trafford, anak buah Carrick itu berjaya mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Aston Villa menerusi jaringan Casemiro, Matheus Cunha dan Benjamin Sesko.
Sehubungan dengan kecemerlangan itu, Rooney yang beraksi bersama Carrick selama 11 musim melihat pengendali sementara itu perlu diberikan tugasan tetap.
Rooney Yakin Dengan Kemampuan Carrick
“Seratus peratus dia patut [dapatkan jawatan itu]. Saya sudah katakan perkara ini,” ujar Rooney menurut sumber laporan Goal.
“Saya memang tahu perkara ini akan berlaku dengan Michael Carrick. Saya mengenalinya dengan sangat baik. Saya tahu karakter dan personalitinya.”
“Pasukan ini memerlukan seorang yang tenang, tetapi pada masa sama seseorang yang benar-benar memahami kelab ini. Para pemain juga memerlukan sedikit sokongan dan dia telah memberikannya kepada mereka.”
“Kita dapat lihat para pemain bermain dengan lebih berkualiti, lebih bersatu sebagai satu pasukan, dan mereka kini kelihatan seperti sebuah pasukan yang sangat kuat.”
“Bagi saya, kenapa perlu tukar? Dia mempunyai peratus kemenangan terbaik bagi mana-mana pengurus Manchester United selepas jumlah perlawanan seperti ini.”
“Bagi saya, dia memang patut diberikan jawatan itu,” tambah Rooney lagi.
Pendapat Rooney jelas amat berbeza dengan beberapa legenda United lain yang mahukan pengurus seperti Luis Enrique untuk dilantik sebagai pengurus kelab tersebut.