Wayne Rooney tanpa berselindung mendakwa Arsenal tidak memiliki seorang pun pemain bertaraf dunia walaupun kini masih lagi merupakan pendahulu English Premier League (EPL) 2025/26.
Bekas penyerang Manchester United dan Everton itu juga percaya bahawa tekanan dan kegelisahan yang jelas daripada figura penting kelab menyebabkan mereka sedikit terganggu dalam usaha memburu kejuaraan musim ini.
Beliau melihat tiada seorang pun pemain dalam skuad kendalian Mikel Arteta ketika ini yang benar-benar menonjol dengan kemampuan bertaraf dunia. Sebaliknya, The Gunners lebih bergantung kepada kekuatan kolektif pasukan.

Setakat musim ini, tiada pemain Arsenal yang berjaya mencapai dua angka jaringan dalam saingan EPL, dengan Viktor Gyokeres muncul penjaring terbanyak pasukan dengan lapan gol.
Di belakangnya, pemain seperti Martin Zubimendi, Leandro Trossard, Declan Rice dan Bukayo Saka turut menyumbang gol sepanjang musim, namun tidak secara konsisten.
Ia jelas berbeza dengan pencabar terdekat, Machester City kerana memiliki peledak berbisa seperti Erling Haaland yang sudah menjaringkan 22 gol pada musim ini.
Rooney Dedah Masalah Utama Arsenal
“Saya bersetuju bahawa Arsenal tidak memiliki seorang superstar sebenar, pemain bertaraf dunia yang boleh dijadikan sandaran utama untuk segala-galanya,” ujar Rooney menurut sumber laporan Goal.
“Namun, apa yang kita lihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini ialah mereka tahu bagaimana untuk memenangi perlawanan. Mereka telah membuktikan bahawa anda tidak semestinya memerlukan pemain superstar itu.”
“Apa yang saya lihat sekarang ialah penyokong Arsenal dan bekas pemain mereka sendiri yang sebenarnya memberi tekanan kepada pasukan.”

“Mereka sepatutnya berdiam diri dan biarkan orang lain bercakap. Saya ada dengar Martin Keown berkata kelebihan enam mata lebih baik daripada sembilan mata, dan saya fikir, ‘Apa yang dia cakap ini?’.”
“Itu tanda seorang pemain berpengalaman yang mula berasa gementar.”
“Mikel Arteta mengendalikan situasi ini dengan sangat baik — cara dia bercakap, bagaimana dia tampil di media, dan bagaimana dia cuba menenangkan pemain.”
“Sebaliknya, individu lain yang mempunyai kaitan dengan kelab yang memberi kesan lebih besar kepada situasi ini.”
“Dari segi kualiti, Arsenal memang mempunyai ramai pemain berkualiti. Tetapi adakah mereka memiliki superstar seperti Cristiano Ronaldo, Didier Drogba atau Sergio Agüero yang mampu menjadi penentu utama kejuaraan?”
“Saya rasa tidak. Namun, mereka tahu cara untuk menang, dan mereka telah membuktikannya sepanjang tiga tahun terakhir,” tambah beliau lagi.
Arsenal semakin tertekan selepas hanya mampu seri 2-2 bertemu Wolves pada awal pagi tadi.
Mereka hanya lima mata dihadapan Manchester City tetapi skuad kendalian Pep Guardiola itu kekurangan satu perlawanan.