Ketua jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti mempertahankan keputusan beliau menyenaraikan Neymar dalam skuad akhir Piala Dunia 2026.
Jurulatih dari Itali itu mengakui penyerang berkenaan semakin pulih dari segi fizikal serta memiliki pengalaman yang cukup berharga.
Namun dalam masa sama, beliau tetap enggan menjamin tempat Neymar dalam kesebelasan utama.
Carlo Ancelotti berkata pemain berpengalaman itu kini kembali menemui rentak dan aksi konsisten dalam beberapa perlawanan terakhir bersama Santos.
Alasan Ancelotti Senaraikan Neymar
Menjelang kejohanan itu, pengendali Brazil berkenaan turut mendedahkan beliau merancang menggunakan bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain tu di posisi lebih tengah dalam jentera serangan skuad Canarinha.
Selain kesesuaian taktikal, Ancelotti turut menegaskan pengalaman luas Neymar di pentas antarabangsa serta pengaruh positifnya di dalam pasukan menjadi faktor penting pemilihannya.
“Dia pemain penting dan akan memainkan peranan penting dalam Piala Dunia ini. Tetapi dia mempunyai tanggungjawab yang sama seperti 25 pemain lain.”
“Dia mungkin bermain atau mungkin tidak. Dia juga boleh bermula di bangku simpanan dan dimasukkan kemudian. Saya mahu jelas, telus dan jujur, dia akan bermain jika dia layak untuk bermain.”
“Neymar mempunyai peranan yang sama seperti semua pemain lain untuk menyumbang kepada pasukan. Kita tidak boleh meletakkan seluruh beban harapan kepada seorang pemain sahaja.”
“Kualiti kolektif pasukan ini mesti sepenuhnya tertumpu untuk membantu Brazil memenangi Piala Dunia. Saya tidak mahukan bintang. Saya mahukan pemain yang komited untuk membantu pasukan memenangi perlawanan,” ujar Carlo Ancelotti menurut sumber laporan Marca.