Cole Palmer dan Phil Foden dilaporkan bakal terlepas tempat dalam skuad kebangsan England ke saingan Piala Dunia 2026.

Menurut sumber laporan Goal, meskipun Thomas Tuchel hanya akan membuat pengumuman rasmi pada hari ini, senarai 26 pemain England yang bakal ke Amerika Utara itu dikatakan sudah pun bocor.

Senarai Pemain England Bocor

Selain dua nama besar tersebut, Luke Shaw juga dijangka mengikuti rakan sepasukannya di Manchester United iaitu Harry Maguire, apabila kedua-duanya dilaporkan digugurkan daripada skuad untuk kejohanan yang bakal bermula 11 Jun itu.

Walaupun memiliki bakat yang tidak dapat disangkal, Phil Foden melalui kempen yang tidak konsisten bersama Manchester City di bawah kendalian Pep Guardiola apabila hanya memulakan 22 perlawanan Premier League dan menjaringkan tujuh gol.

Cole Palmer turut menjadi antara pemain yang digugurkan meskipun tampil dalam 33 perlawanan bersama Chelsea FC musim ini dengan catatan 10 gol serta tiga bantuan jaringan.

Sebaliknya, Ivan Toney yang kini beraksi bersama Al-Ahli Saudi FC, dijangka berada dalam skuad Thomas Tuchel ke Piala Dunia 2026 walaupun hanya bermain kurang lima minit di pentas antarabangsa di bawah jurulatih dari Jerman itu.

Posisi bek kiri menjadi isu perdebatan sejak beberapa bulan lalu, namun Luke Shaw nampaknya bukan penyelesaian kepada masalah Thomas Tuchel.

Walaupun disenaraikan dalam kumpulan awal 55 pemain dan mendapat sokongan kuat daripada penyokong untuk dipilih, pertahanan Manchester United itu dijangka digugurkan daripada skuad akhir, selepas Harry Maguire mengesahkan bahawa beliau turut tidak tersenarai.

Bagaimanapun, pertahanan Newcastle United, Dan Burn serta pemain muda Manchester City FC, Nico O’Reilly dijangka menerima panggilan ke skuad kebangsaan.

Bintang AC Milan, Fikayo Tomori turut menjadi antara nama besar yang menjadi mangsa rombakan bahagian pertahanan oleh Tuchel. Walaupun mempamerkan aksi konsisten dalam Serie A, Tomori dijangka turut diketepikan.

Ketiadaan kedua-dua pemain itu membuka ruang buat John Stones untuk kembali mengisi posisi utama di bahagian tengah pertahanan England. Walaupun berdepan musim yang diganggu kecederaan bersama Manchester City, Tuchel dikatakan masih mengagumi kemampuan teknikal serta pengalaman Stones di peringkat tertinggi.

Sumber