Jesse Lingard berpendapat England bakal menamatkan penantian panjang dengan muncul juara dalam saingan Piala Dunia 2026 nanti.
Beliau yang pernah membuat 32 penampilan bersama skuad kebangsaan England melihat skuad kendalian Thomas Tuchel itu memiliki segala yang diperlukan untuk melangkah sehingga ke penghujung kejohanan.
Pernah menjadi tonggak penting skuad England yang mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018, Lingard tahu dengan tepat apa yang diperlukan untuk berjaya di pentas antarabangsa.
Menyaksikan dari jauh selepas perpindahannya ke Corinthians, pemain berusia 33 tahun itu yakin bahawa pasukan semasa skuad The Three Lions memiliki kualiti untuk akhirnya menjulang trofi di Amerika Utara pada musim panas ini.
Lingard Yakin England Mampu Muncul Juara
“Kami [merujuk kepada England] sentiasa mempunyai peluang yang baik,” ujar Lingard menurut sumber laporan Goal.
“Saya rasa dalam kejohanan besar, kami sentiasa beraksi dengan baik. Saya percaya dengan pemain-pemain ini.”
“Saya tahu betapa hebatnya mereka, jadi saya tidak nampak mengapa tidak [untuk menjuarai Piala Dunia 2026],” tambah beliau lagi.
Di saingan paling berprestij itu nanti, England telah diundi bersama-sama Croatia, Ghana dan Panama dalam kumpulan L.
Perjalanan di peringkat kumpulan dilihat tidak mudah, namun England tetap dianggap antara pasukan pilihan berdasarkan kekuatan skuad serta pengalaman pemain di pentas antarabangsa.
Croatia pastinya menjadi pencabar utama dalam kumpulan tersebut, manakala Ghana dan Panama juga mampu memberi saingan sengit jika dipandang rendah.
Dalam masa sama, kehadiran Thomas Tuchel sebagai pengendali turut dilihat membawa dimensi baharu kepada corak permainan England, khususnya dari segi taktikal dan disiplin pasukan.
Gabungan pemain muda berbakat serta tonggak berpengalaman menjadikan skuad England lebih seimbang berbanding edisi sebelum ini.