Bekas pengurus skuad kebangsaan England, Glenn Hoddle memberikan kritikan keras terhadap Thomas Tuchel susulan keputusan menggugurkan Adam Wharton daripada skuad England ke Piala Dunia 2026.

Pemain muda berbakat besar itu beraksi cemerlang membantu Crystal Palace meraih kejayaan bersejarah di pentas Eropah hanya beberapa hari selepas diketepikan, dengan Tuchel memilih pemain tengah veteran Jordan Henderson untuk kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico itu.

Tindakan Tuchel itu jelas menimbulkan rasa tidak puas hati buat Hoddle sekali gus mempersoalkan pemilihan Henderson.

“Saya agak terkejut, ya,” ujar Hoddle menurut sumber laporan Goal.

Hoddle Puji Kemampuan Wharton

“Saya fikir dia [Adam Wharton] sesuai bermain dalam formasi tiga pemain tengah kerana dia bukan jenis yang bergerak terlalu pantas di atas padang, jadi mungkin itu menjadi kekurangan buatnya”

“Tetapi bagi saya, saya sangat suka cara dia sentiasa memandang ke depan dan melakukan hantaran.”

“Dia mampu menghasilkan hantaran ‘killer pass’, hantaran yang boleh memecahkan keseluruhan benteng pertahanan lawan hanya dengan satu sentuhan.”

“Saya tidak pasti England mempunyai ramai pemain di posisi tengah bertahan yang mampu melakukan perkara itu secara konsisten. Sebab itu saya agak hairan apabila melihat dia tidak tersenarai dalam skuad.”

“Saya faham kenapa pengurus memilih Jordan Henderson, tetapi jika mahu dia memainkan peranan seperti itu, lebih baik bawa dia sebagai jurulatih sahaja. Ada satu tempat yang sepatutnya menjadi milik Adam Wharton.”

“Dia memang berada di kelas tersendiri malam ini. Dia antara pemain yang bermain dengan corak permainan normalnya dari minit pertama hingga wisel penamat.”

“Dia cepat menyesuaikan diri dalam permainan dan menunjukkan kepada semua orang apa yang mampu dilakukannya menerima bola, membuat hantaran dan mencipta peluang.”

“Crystal Palace mungkin tidak berada pada prestasi terbaik mereka, tetapi dia melakukan semua perkara dengan betul, sama seperti yang ditunjukkannya minggu demi minggu.”

“Tabik hormat untuknya. Tidak berada dalam pesawat ke Piala Dunia sememangnya satu tamparan besar, tetapi dia menamatkan musim ini dengan cukup cemerlang,” tambah Hoddle lagi.

Sumber