Amerika Syarikat memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan nota kemenangan selepas menundukkan Paraguay 4-1 pada aksi kumpulan D yang berlangsung di Los Angeles Stadium sebentar tadi.
Bukan sahaja kemenangan penting dilakarkan, malah ia adalah pertama kali dalam sejarah Piala Dunia skuad Amerika Syarikat berjaya menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan.
Aksi kemas di 45 minit awal jelas memberikan kelebihan buat Amerika Syarikat apabila tiga daripada empat gol tersebut terhasil pada babak pertama.

Amerika Syarikat Garang Di Babak Pertama
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas pemain tengah Paraguay, Damian Bobadilla tertampan bola ke gawangnya sendiri pada minit ketujuh permainan dalam cubaannya untuk menghalang hantaran lintang Weston McKennie.
Amerika Syarikat yang lebih menguasai permainan menambah jaringan kedua pada minit ke-31 menerusi Folarin Balogun selepas beliau mudah menolak masuk bola susulan hantaran lintang Christian Pulisic.
Ketika kedua-dua pasukan semakin hampir untuk melangkah masuk ke bilik persalinan bagi rehat separuh masa, Balogun menjadikan kedudukan 3-0 pada masa kecederaan.
Jaringan tersebut berpunca daripada hantaran lolos Tillman yang terus mencari Balogun dan pemain AS Monaco itu dengan cukup lincah melepasi kawalan pertahanan untuk melepaskan rembatan kaki kiri bagi menewaskan penjaga gol, Orlando Gill.

Paraguay yang dibimbing Gustavo Alfaro cuba bangkit pada babak kedua dengan mempamerkan aksi lebih menekan Amerika.
Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-73 apabila Mauricio berjaya merapatkan jurang dengan percubaan dalam kawasan penalti yang membolosi gawang Amerika Syarikat hasil lorongan Julio Enciso.
Jaringan itu bagaimanapun tidak mampu menyemarakkan lagi api perjuangan Paraguay untuk menambah jaringan. Sebaliknya Amerika erhasil memperoleh jaringan keempat pada minit ke-98 menerusi Giovanni Reyna untuk mengesahkan kemenangan 4-1 buat mereka.