Piala Dunia 2026 sudah membuka tirainya dengan tuan rumah, Mexico menang 2-0 ke atas Afrika Selatan manakala Korea Selatan pula menewaskan Republik Czech 2-1.

Buat pertama kalinya, kejohanan ini akan dianjurkan secara bersama oleh tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Ia turut menyaksikan perubahan format dengan penyertaan lebih banyak pasukan serta jumlah perlawanan yang meningkat.

Keadaan yang membuatkan kempen Piala Dunia 2026 dijangka menawarkan pengalaman yang lebih meriah dan kompetitif berbanding edisi-edisi sebelumnya walaupun berdepan pelbagai kontroversi.

Korea Selatan
Kredit Foto: Ulises RUIZ / AFP

Berikut adalah 5 fakta menarik tentang Piala Dunia 2026:

1) Pendatang Baharu Piala Dunia

Cape Verde, Curacao, Jordan dan Uzbekistan bakal berdepan pasukan-pasukan elit bola sepak dunia selepas berjaya memanfaatkan format baharu yang diperluaskan sekali gus membuat penampilan sulung dalam kancah Piala Dunia.

Uzbekistan yang dibimbing oleh legenda pertahanan Itali, Fabio Cannavaro akan memasuki kejohanan tersebut dengan harapan mencipta beberapa kejutan.

Peluang mereka banyak bergantung kepada bintang muda yang semakin menyerlah bersama Manchester City, Abdukodir Khusanov yang dijangka memainkan peranan penting dalam kempen pasukan itu.

2) Pemain Dari 449 Kelab Berbeza

Menurut sumber laporan FIFA, pemain yang bakal beraksi di Piala Dunia 2026 datang daripada 449 kelab yang berpangkalan di 71 negara berbeza.

Ia membuktikan betapa luasnya pengaruh dan kepelbagaian bakat bola sepak yang akan menghiasi kejohanan terbesar dunia itu.

Manchester City menjadi kelab yang paling banyak menampilkan pemain mereka dalam saingan Piala Dunia 2026 iaitu seramai 19 pemain.

Kedudukan kedua diisi Bayern Munich dengan 18 pemain manakala Arsenal dan Paris Saint-Germain mempunyai 16 pemain yang akan beraksi di Amerika Utara itu.

Dalam pada itu, Crystal Palace turut mencuri tumpuan dengan 12 pemain.

Piala Dunia 2026
Kredit Foto: Rodrigo Oropeza / AFP

3) Pemain Termuda Piala Dunia 2026

Gilberto Mora menjadi pemain termuda membuat penampilan dalam Piala Dunia 2026 apabila baharu menjengah usia 17 tahun & 242 hari.

Pemain kelab Tijuana itu dimasukkan pada minit ke-65 pada aksi bertemu Afrika Selatan awal pagi tadi.

Manakala Alphonso Davies pula menjadi kapten termuda dalam saingan kali ini. Kapten Kanada itu berusia 25 tahun & lapan bulan.

4) Pemain Tertua Piala Dunia 2026

Penjaga gol Scotland, Craig Gordon mencipta rekod sebagai pemain tertua yang menyertai Piala Dunia FIFA 2026 apabila berusia 43 tahun & 162 hari.

Usia yang membuktikan bahawa pengalaman dan ketahanan fizikalnya masih mampu bersaing di pentas tertinggi bola sepak dunia.

5) Impak Estadio Azteca, Mexico

Estadio Azteca mengukir sejarah tersendiri pada Piala Dunia 2026 apabila merupakan stadium pertama di dunia yang menjadi tuan rumah tiga perlawanan pembukaan Piala Dunia.

Sejarah itu dilakarkan selepas saingan 2026 mengikuti jejak langkah edisi 1970 dan 1986.

Pencapaian luar biasa ini sekali lagi mengukuhkan status stadium legenda tersebut sebagai salah satu venue paling ikonik dalam sejarah bola sepak dunia.