Korea Selatan membuka tirai Piala Dunia 2026 dengan nota kemenangan selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Republik Czech 2-1 pada aksi kumpulan A yang berlangsung di Guadalajara Stadium, Mexico sebentar tadi.

Skuad kendalian Hong Myungbo itu tampil baik untuk mengawal permainan dan mendapat peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-29.

Namun, percubaan jarak jauh daripada Lee Kang-in berjaya diselamatkan dengan cemerlang penjaga gol Republik Czech, Matej Kovar.

Piala Dunia 2026: Korea Selatan Bangkit Jinakkan Republik Czech 2-1
Kredit Foto: Ulises RUIZ / AFP

Kem Republik Czech melonjak kegembiraan pada minit ke-59 selepas lontaran jauh Vladimir Coufal berjaya ditanduk masuk ketua pasukan, Lasdislav Krejci untuk memisahkan kedua-dua pasukan.

Korea Selatan Pamer Kebangkitan

Tersentak dengan jaringan tersebut, Son Heung-min hampir menyamakan kedudukan, tetapi rembatannya dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran Lee Jae-sung digagalkan Kovar.

Kehampaan itu ditebus Hwang In-beom pada minit ke-67 selepas umpanan Kang-in dalam kawasan penalti disudahkan dengan tenang pemain tengah itu untuk kembali menyamakan kedudukan.

Berselang 10 minit kemudian, gol menerusi tandukan oleh Thomas Soucek dibatalkan selepas pemain West Ham United itu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Piala Dunia 2026: Korea Selatan Bangkit Jinakkan Republik Czech 2-1
Kredit Foto: Ulises RUIZ / AFP

Jaringan kedua Korea Selatan hadir pada minit ke-80 selepas kuisan pemain gantian, Oh Hyeon-gu selepas menerima hantaran lintang In-beom tidak mampu diselamatkan Kovar untuk memberikan kelebihan buat skuad Taeguk Warriors.

Republik Czech cuba untuk memadamkan kelebihan tersebut dua minit kemudian, namun Kim Seung-gyu kental di gawnagnya untuk menafikan rembatan jarak dekat oleh Adam Hlozek.

Penjaga gol berpengalaman itu juga cemerlang dalam menggagalkan percubaan Michal Sadilek pada masa kecederaan untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik Korea Selatan.