Vincent Kompany berdepan arahan luar biasa daripada Bayern Munich apabila kelab itu mahu memastikan pengendalinya berehat sepenuhnya dan tidak terlibat dalam sebarang urusan bola sepak sepanjang tempoh pemulihan.
Lebih menarik, larangan itu bukan sekadar melibatkan kehadiran di pusat latihan. Kompany turut diminta supaya tidak berbincang mengenai taktikal, analisis perlawanan mahupun pemilihan kesebelasan utama bersama barisan kejurulatihannya.
Menurut laporan BILD, arahan tegas itu turut diberikan kepada Aaron Danks yang kini mengambil alih tugas Kompany buat sementara waktu.
Danks mendedahkan bahawa dia menerima arahan jelas daripada barisan pengurusan Bayern, khususnya Max Eberl dan Christoph Freund, supaya tidak melibatkan Kompany dalam sebarang perbincangan berkaitan bola sepak.
“Tidak, sama sekali tidak. Kami mengambil situasi ini dengan sangat serius. Saya menerima arahan jelas daripada Max dan Christoph supaya tidak melibatkan diri dalam perbincangan seperti itu.
“Kami mahu Vince memberikan sepenuh perhatian kepada kesihatannya dan meluangkan masa bersama keluarga,” kata Danks.
Malah, jika Kompany sendiri memulakan perbualan mengenai bola sepak ketika mereka berhubung melalui panggilan telefon atau lawatan, Danks tetap diarahkan supaya tidak melayan perbincangan tersebut.
Untuk rekod, Kompany rebah di pusat latihan Bayern pada 23 Oktober lalu sebelum dikejarkan ke hospital.
Jurulatih berusia 40 tahun itu kemudian disahkan mengalami meningeal irritation, iaitu kerengsaan pada selaput yang melindungi otak dan saraf tunjang.
Keadaan tersebut memerlukan rawatan ubat-ubatan serta tempoh rehat sepenuhnya.
BILD turut melaporkan bahawa Kompany dipercayai sebelum ini terlalu memaksa dirinya bekerja, termasuk kurang tidur kerana melakukan analisis video sehingga lewat malam. Dia juga dikatakan tidak memberikan perhatian secukupnya kepada kesihatan selepas mengalami jangkitan virus.
Bayern kini mahu memastikan Kompany benar-benar pulih sebelum kembali mengendalikan pasukan.
“Kami sangat serius mengenai perkara ini. Kami mahu dia berehat dan pulih dengan baik supaya apabila kembali nanti, dia berada pada tahap terbaik dan mampu membantu pasukan sepenuhnya,” jelas Danks.
Situasi ini memperlihatkan betapa seriusnya Bayern memandang keadaan kesihatan pengendalinya.
Dalam dunia bola sepak yang menuntut komitmen sepanjang masa, Kompany kini menerima satu arahan yang mungkin sukar dipatuhi oleh seorang jurulatih yang cukup obses dengan kerja: berhenti bekerja, jangan fikir tentang bola sepak dan fokus kepada pemulihan.
Memang agak rare, bos suruh pekerja berehat, sementara pekerja pula cuba sedaya upaya nak elak MC (cuti sakit).