Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak cemerlang selepas mara ke final Terbuka Denmark 2026 yang berlangsung di SJF Bank Arena, Odense.
Lebih manis kemenangan penting itu hadir hasil kejayaan mereka menundukkan pasangan ranking pertama dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam aksi ‘straight set’.
Ia juga turut melebarkan rentetan dua kemenangan berturut-turut Aaron dan Wooi Yik ke atas lawan dari Korea Selatan itu dimana sebelum ini mereka menang di separuh akhir Kejuaraan Dunia 2026.
Berdasarkan rekod pertemuan, kejayaan ini membolehkan Aaron-Wooi Yik menyamakan kedudukan kepada 3-3.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik Cemerlang Ke Final
Pertembungan melibatkan dua regu terbaik dunia itu sememangnya menarik untuk diperkatakan dengan corak permainan pantas dipamerkan.
Aksi saling kejar mengejar mata sejak mula itu tidak menyentap semangat pasangan negara untuk menang 21-14 pada set pertama.
Cabaran lebih sengit diberikan Won Ho-Seung Jae pada set kedua tetapi Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak gentar untuk mengesahkan kemaraan ke pentas final dengan kemenangan 21-18.
Menanti mereka di final esok ialah pemenang dalam satu laki aksi separuh akhir yang menemukan juara dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dan Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dari Indonesia.
Terbuka Denmark 2026 merupakan kejohanan berstatus Super 750 dalam kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF).