Perjuangan kem Malaysia di Terbuka Denmark 2026 diteruskan dengan tiga wakil negara berjaya melangkah ke separuh akhir.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di SJF Bank Arena, Odense itu sebentar tadi menyaksikan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah dan Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing memperagakan aksi baik untuk melepasi cabaran lawan masing-masing.
Wakil Malaysia Cemerlang Di Suku Akhir Terbuka Denmark 2026
Turun selaku pilihan keempat kejohanan dalam acara beregu lelaki, Aaron dan Wooi Yik yang kembali digandingkan berjaya mengenepikan cabaran pasangan Jepun, Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita 21-16, 21-18.
Cabaran getir bakal menanti Aaron-Wooi Yik di separuh akhir esok kerana mereka dijadualkan berdepan pasangan ranking nombor satu dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.
Kemudiannya giliran Pang Ron-Pei Jing pula mempamerkan corak permainan meyakinkan untuk menewaskan Akira Koga-Natsu Saito dari Jepun juga menerusi aksi ‘straight set’ 21-15, 24-22.
Menanti mereka esok ialah pemenang antara pilihan utama dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang akan bertemu gandingan Chinese Taipei, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan.
Pilihan kedua beregu wanita, Pearly-Thinaah pula bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 14-21, 21-17, 21-11 ke atas pasangan India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela.
Dengan kemenangan ini, Pearly dan Thinaah akan bertemu pilihan keenam dari China, Bao Li Jing-Cao Zi Han.
Terbuka Denmark 2026 merupakan kejohanan berstatus Super 750 dalam kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF).