Pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik beraksi cemerlang untuk melangkah ke final Kejohanan Badminton Dunia 2026 yang berlangsung di New Delhi, India.
Lebih manis kemaraan bermakna itu hadir selepas mereka menumpaskan pasangan ranking pertama dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam aksi ‘straight set’.
Kembali digandingkan selepas dipecahkan buat seketika pada empat kejohanan sebelum ini, Aaron dan Wooi Yik menyerap tekanan dengan baik untuk meneruskan kemaraan.
Aaron-Wooi Yik Cemerlang
Aaron-Wooi Yik bermula baik untuk mendahului pasangan Korea Selatan itu pada permulaan permainan, namun Won Ho-Seung Jae kembali bangkit mengejar kedudukan 10-10.
Tidak mahu melihat lawan terus mendapatkan mata demi mata, anak buah Herry Iman Pierngadi itu tampil lebih meyakinkan untuk mengesahkan kemenangan set pertama dengan 21-17.
Skrip set kedua juga tidak kurang menariknya dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mendahului 11-8 pada rehat ‘interval’ untuk menyemarakkan lagi api perjuangan mereka.
Namun ketika mendahului 14-11, mereka sedikit kehilangan fokus hingga membolehkan Kim Won Ho-Seo Seung Jae pula berada dihadapan 14-16 dan 15-17.
Aaron-Wooi Yik bagaimanapun tidak terkesan dengan keadaan tersebut sebaliknya kembali bangkit mengejar hingga berjaya memastikan slot ke final menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-18.
Ini merupakan peluang terbaik buat Aaron-Wooi Yik untuk sekali lagi dinobatkan selaku juara dunia selepas mereka melakukannya pada edisi 2022.
Menanti mereka di final nanti ialah pemenang antara Liang Wei Keng-Wang Chang dari China yang akan berhadapan dengan pasangan Chinese Taipei, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan.