Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan momentum cemerlang di Axiata Arena, Bukit Jalil selepas mara ke final Kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2026.
Kemenangan penting dilakarkan ke atas pasangan Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dari Indonesia itu menyaksikan penantian panjang untuk menyaksikan wakil negara beraksi di pentas final berakhir.
Kali terakhir wakil negara mara ke final kejohanan di laman sendiri itu adalah pada 2018 yang menyaksikan Datuk Lee Chong Wei turut muncul sebagai juara.
Mendapat sorakan padu puluhan ribu penyokong sendiri, Aaron dan Wooi Yik mempamerkan corak permainan bertenaga walaupun mendapat tentangan hebat pasangan ranking keenam dunia itu.
Ia jelas dibuktikan apabila Aaron-Wooi Yik ketinggalan 2-5 pada awal set permainan. Mereka kemudiannya bangkit dan aksi lebih sengit dengan aksi kejar-mengejar mata dipamerkan kedua-dua pasangan untuk terikat 18-18.
Anak buah Herry Iman Pierngadi itu bagaimanapun lebih tenang menyerap tekanan untuk menang set pertama 23-21 dalam tempoh masa 26 minit.
Skrip sama berlaku pada set kedua apabila Fajar-Shohibul terlebih dahulu menguasai permainan untuk mendahului 11-8 pada rehat ‘interval’.
Namun, kelebihan itu pantas dipadamkan Aaron-Wooi Yik sebaik sahaja rehat interval untuk menyamakan kedudukan 12-12.
Keadaan tersebut jelas menyemarakkan lagi api perjuangan Aaron-Wooi Yik yang sekali gus sedikit mengganggu konsentrasi Fajar-Shohibul hingga membuat beberapa kesilapan mudah.
Kesempatan itu diambil sepenuhnya Aaron-Wooi Yik untuk memastikan kemaraan dengan kemenangan 21-18.
Menanti Aaron Chia-Soh Wooi Yik di pentas final petang esok ialah juara bertahan yang merupakan pasangan ranking pertama dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.