Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai satu insiden membabitkan sebuah keluarga di cawangan pasar raya Lotus’s Selayang.

Isu yang mendapat perhatian hangat netizen itu telah mendorong pihak pengurusan Lotus’s Malaysia untuk tampil mengemukakan permohonan maaf secara terbuka berikutan pengalaman tidak menyenangkan yang dilalui oleh pelanggan berkenaan.

Bagaimanapun, di sebalik kekecohan insiden tersebut, ada satu plot yang menyentuh hati apabila pesaing industri mereka, AEON Retail Malaysia, mengambil langkah proaktif yang telah mendapat pujian orang ramai.

AEON Luah Rasa Simpati, Sedia Beri Bantuan

Menerusi satu perkongsian yang dimuat naik oleh keluarga terbabit, Threads @fareezshah10 mendedahkan bahawa pihak AEON Retail Malaysia telah menghantar pesanan peribadi (DM) untuk menyatakan rasa simpati dan solidariti terhadap insiden yang dihadapi oleh beliau dan isterinya.

Bukan sekadar kata-kata semangat, AEON turut bermurah hati menjemput pasangan ini untuk hadir ke mana-mana cawangan AEON yang berdekatan bagi mendapatkan barangan keperluan bayi secara percuma sebagai tanda sokongan moral.

 

View on Threads

 

“Kami amat sedih apabila mengetahui apa yang anda dan isteri lalui baru-baru ini. Walaupun kami tahu tiada kata-kata atau tindakan yang dapat memadamkan trauma tersebut, kami berharap anda tahu bahawa doa kami sentiasa bersama anda,” tulis wakil AEON dalam mesej berkenaan.

Pihak AEON turut menegaskan bahawa pelawaan tersebut dibuat tanpa sebarang komitmen atau paksaan, sebaliknya ia tulus sebagai tanda bahawa pasangan itu tidak bersendirian dalam mengharungi fasa sukar tersebut.

“Terima Kasih Atas Keprihatinan” – Fareez Shah

Tindakan spontan dan penuh empati daripada AEON ini disambut baik oleh Fareez. Beliau menzahirkan rasa penghargaan yang mendalam di atas sifat keprihatinan yang ditunjukkan oleh jenama pasar raya terkemuka itu.

“Terima kasih AEON Retail Malaysia kerana menghubungi saya dengan penuh ihsan dan kemurahan hati. Jiwa dan empati yang anda tunjukkan amat bermakna buat kami. Semoga kebaikan ini dibalas dengan berlipat kali ganda,” katanya.

Pada masa sama warganet memuji respon daripada AEON itu yang dalam diam-diam membantu pihak terbabit dalam insiden yang tidak diingini.

Warganet turut menyatakan respon AEON itu adalah cara yang sepatutnya dan terbaik bagi menjernihkan sesuatu krisis.