Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) secara rasmi menyatakan sokongan padu kepada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Carribean (CONCACAF) berhubung bantahan terhadap cadangan perniagaan baharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Isu ini timbul berikutan cadangan FIFA untuk menjual sebahagian pegangan atau ekuiti dalam operasi perniagaan kejohanan berprestij mereka, terutamanya Piala Dunia kepada pelabur swasta.

AFC Sokong Pendirian UEFA & CONCACAF

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan dari ibu pejabatnya di Kuala Lumpur, AFC menekankan bahawa potensi campur tangan pihak swasta dalam hak komersial bola sepak dunia boleh memberi kesan buruk kepada struktur dan ekosistem sukan berkenaan.

AFC turut menzahirkan kebimbangan yang amat mendalam apabila desas-desus mengenai usaha memboikot saingan Piala Dunia kini mula menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan penggiat dan peminat bola sepak global.

Kenyataan turut menegaskan sebarang ancaman yang boleh menjejaskan integriti atau penganjuran Piala Dunia wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak.

“AFC berdiri teguh bersama UEFA dan CONCACAF dalam menyuarakan kebimbangan serius berhubung cadangan FIFA untuk membawa masuk pelaburan swasta ke dalam pertandingan utama FIFA.”

‘Hakikat bahawa situasi ini telah mencapai tahap di mana wujudnya kemungkinan boikot Piala Dunia FIFA dalam perbincangan awam seharusnya membimbangkan sesiapa sahaja yang mengambil berat tentang masa depan sukan kita,” kata ujar badan induk yang mewakili 47 negara Asia itu.

Dalam pada itu menurut sumber BBC pula, AFC turut mengkritik FIFA kerana didakwa membiarkan konfederasi, persatuan bola sepak kebangsaan (MA) dan juga badan pentadbiran FIFA sendiri, termasuk Majlis FIFA berasa diketepikan.

“AFC menggesa FIFA supaya menjalankan semakan segera terhadap rangka kerja tadbir urus dan proses membuat keputusannya bagi memastikan setiap cadangan yang memberi impak besar di peringkat global dibangunkan menerusi proses perundingan yang sewajarnya, penglibatan yang bermakna serta pemantauan yang sesuai oleh badan-badan berkanun FIFA.”

Dengan penentangan tiga badan induk bola sepak benua itu, ini bermakna 136 negara tidak memihak FIFA berhubung cadangan tersebut.

Sumber