Jaringan dramatik Sergio Aguero pada masa kecederaan ketika menentang QPR pada 2012 kekal sebagai antara detik paling tidak dapat dilupakan dalam sejarah English Premier League (EPL).

Hakikat tersebut diakui sendiri Aguero yang melihat detik itu merupakan salah satu kenangan indah dalam kariernya sebagai pemain.

Bertahun-tahun selepas bersara, penyerang Argentina itu masih mengenang jaringan yang membantu Manchester City meraih kejuaraan liga pertama mereka pada era moden dengan penuh nostalgia.

Selain itu, beliau turut mendedahkan perancangan teliti di sebalik gol tersebut serta hubungan eratnya yang kekal bersama para penyokong.

Detik Indah Buat Sergio Aguero

“Selepas kami menewaskan Manchester United, kami memasuki perlawanan terakhir musim itu dengan mengetahui bahawa jika kami menang di laman sendiri menentang QPR, kami akan menjulang kejuaraan liga.”

“Namun, pada separuh masa kedua, kami ketinggalan 2-1. Pada ketika itu, anda tidak memikirkan apa-apa. Anda hanya terfikir bahawa kami akan kehilangan kejuaraan liga. Tetapi apa pun, kami terus berusaha sehingga ke penghujung perlawanan,” ujar Aguero menurut sumber laporan Goal.

Ketika Edin Dzeko menjaringkan gol pada minit ke-92 untuk menyamakan kedudukan, Aguero percaya dia masih mampu menjaringkan satu lagi gol. Penyerang itu mendedahkan bahawa gerakan seterusnya bersama Mario Balotelli bukanlah berlaku secara spontan, sebaliknya sudah dirancang terlebih dahulu.

“Saya membuat keputusan untuk turun sedikit bagi menerima hantaran daripada Nigel de Jong, kemudian saya cuba melakukan hantaran satu-dua dengan Mario Balotelli.”

“Perkara itu memang sudah bermain dalam fikiran saya. Saya sudah merancangnya untuk melihat sama ada saya boleh menjaringkan gol.”

“Sebelum itu, saya sudah memberitahu Mario bahawa saya akan mencarinya, bahawa saya akan menghantar bola kepadanya supaya dia boleh melakukan hantaran satu-dua dan memberikan bantuan kepada saya.”

“Mujurlah, rancangan yang saya ada bersamanya menjadi kenyataan. Akhirnya ia menjadi gerakan yang sempurna.”

“Saya sangat gembira kerana para penyokong masih mengikuti perkembangan saya dan masih menyayangi saya seperti ketika saya masih bermain. Saya rasa mereka berpuas hati dengan persembahan saya sepanjang 10 tahun itu, dengan semua kejayaan memenangi kejuaraan dan tentunya gol menentang QPR yang begitu penting dalam sejarah kelab.”

“Kini, selepas saya tidak lagi bermain, setiap tahun apabila 13 Mei tiba, iaitu hari saya menjaringkan gol menentang QPR itu, saya akan mengimbau kembali detik tersebut. Kenangan yang begitu indah. Bagi saya, ia akan sentiasa kekal begitu.”

Sumber