Nama bekas penyerang Manchester City, Sergio Kun Aguero muncul dalam siasatan kehakiman Argentina terhadap sebuah rangkaian jenayah antarabangsa yang didakwa terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.
Kes itu dikaitkan dengan Pablo Bebote Alvarez, bekas ketua barra brava Independiente yang ditahan pihak berkuasa dan didakwa mempunyai kaitan dengan organisasi narkotik antarabangsa.
Dalam dokumen siasatan, pihak kehakiman menemui sejumlah mesej, audio dan dokumen yang menunjukkan beberapa individu dalam rangkaian berkenaan cuba menjalinkan hubungan perniagaan dengan Aguero.
Antara yang menjadi perhatian ialah rancangan untuk melancarkan sebuah platform penjualan tiket menggunakan nama KRU TICKETS, yang mempunyai kaitan dengan KRU, organisasi esports yang diasaskan Aguero.
Malah, mesej yang ditemui menunjukkan mereka membincangkan usaha untuk mendapatkan kerjasama Aguero, termasuk menghasilkan bahan promosi yang menampilkan bekas pemain Argentina itu.
Terdapat juga perbualan mengenai kemungkinan pertemuan dengan Aguero dan usaha mendapatkan pelaburan bagi projek tersebut.
Pihak yang rapat dengan Aguero turut menafikan bahawa sebarang kerjasama dengan kumpulan tersebut pernah dimuktamadkan.
Menurut penjelasan mereka, Aguero memang menerima tawaran perniagaan tetapi selepas melakukan semakan terhadap pihak yang membuat tawaran, projek tersebut ditolak dan tidak diteruskan.
Siasatan kini memberi tumpuan kepada dakwaan bahawa rangkaian berkenaan cuba menggunakan beberapa aktiviti perniagaan yang kelihatan sah untuk mengaburkan aliran wang hasil kegiatan jenayah.
Nama Aguero muncul kerana kumpulan terbabit dipercayai mahu mendapatkan kredibiliti dan nilai komersial daripada imej bekas bintang Manchester City itu.