Skuad Terengganu FC (TFC) kini bertambah mantap selepas mereka mengumumkan kemasukan pemain sayap prolifik, Akhyar Rashid bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Pemain berusia 25 tahun itu telah menandatangani kontrak bersama TFC untuk tempoh 1 musim sebagai pemain pinjaman dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Baca Juga:

Pemain yang mempunyai kelajuan dan teknik kawalan bola yang cukup baik ini berjaya menarik minat pengendali pasukan iaitu Tomislav Steinbruckner untuk meletakkannya dalam senarai pemain yang dimahukannya dalam skuad musim 2024/2025.

“Saya sangat terharu untuk bermain bersama Terengganu sebab saya tengok pasukan ini dah memang cukup solid dan banyak pemain tempatan yang berbakat besar.

“Jadi, saya berminat untuk menimba ilmu di sini dan saya harap dapat membantu pasukan ini,” jelas Akhyar dalam satu video temubual bersama TFC.

Akhyar juga mendedahkan perancangannya untuk musim ini sepanjang bersama TFC iaitu memburu lebih banyak minit permainan bagi meningkatkan prestasinya.

“Saya harap dapat banyak minit permainan dan juga dapat memberikan kepercayaan kepada coach Tomy.

“Bukan tugas mudah, namun saya akan berusaha lebih keras lagi termasuk memberi kepercayaan kepada jurulatih baharu saya, harap saya boleh bekerjasama dengan barisan kejurulatihan dan juga rakan sepasukan,” katanya.

Akhyar juga dilihat sebagai calon pemain sayap yang tepat untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan pemain import TFC musim lepas iaitu Sony Norde.

Beliau turut mempamerkan aksi yang cukup meyakinkan dalam kempen saingan Piala Asia baru-baru ini. Untuk rekod bersama skuad negara, beliau pernah bersama Malaysia bawah-17, Malaysia bawah-19, Malaysia bawah-23 dan kini bersama skuad senior Harimau Malaya dibawah kendalian Kim Pan Gon.