Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan seorang pegawainya menerima rasuah berjumlah RM100 melalui kod QR ke akaun peribadi di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Isu tersebut tular selepas seorang pengguna media sosial mendedahkan pengalamannya dipaksa membayar ‘kompaun’ secara digital semata-mata mahu membawa masuk makanan dari luar negara.

Siasatan Menyeluruh & Panggil Pegawai Terlibat

Komander Pintu Masuk AKPS KLIA, Mohd Safrie Zakaria, menegaskan bahawa Bahagian Integriti AKPS KLIA telah digerakkan bagi menyiasat kes ini secara menyeluruh demi memastikan ketelusan proses, petik Berita Harian.

Pegawai yang dikaitkan dengan insiden berkenaan juga telah dipanggil oleh pengurusan tertinggi untuk memberi keterangan.

“Pihak pengurusan tertinggi AKPS memandang serius dakwaan itu. Kami sama sekali tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang didapati melanggar prinsip integriti, menyalahgunakan kuasa, atau ingkar terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menambah bahawa tindakan tatatertib dan undang-undang yang tegas akan diambil tanpa kompromi sekiranya salah laku tersebut terbukti benar.

Pemilik Akaun Threads Belum Beri Maklum Balas

Pihak AKPS KLIA memaklumkan telah cuba menghubungi pemilik akaun Threads @brayenngabriel, pada jam 11 pagi semalam untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bagaimanapun, tiada sebarang maklum balas diterima daripada individu terbabit setakat jam 4 petang hari ini.

Sehubungan itu, AKPS menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini agar tampil membantu siasatan demi menjaga integriti perkhidmatan dan kepercayaan masyarakat terhadap agensi tersebut.

Sumber