Kelab Saudi Pro League (SPL) berminat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain skuad kebangsaan Itali dan lagenda AC Milan, Paolo Maldini bagi menjadi sebahagian daripada pihak pengurusan.

Menurut perkongsian Fabrizio Romano, Ittihad mahu melantik Maldini sebagai pengarah sukan kelab dimana mereka yakin dengan kemampuan bekas pemain itu khususnya ketika memegang jawatan sama ketika di AC Milan sebelum ini.

Baca Juga:

Al-Ittihad baru-baru ini memecat ketua jurulatih pasukan, Nuno Espirito Santo selepas bergaduh dengan beberapa pemain bintang seperti Karim Benzema dan Jota selain pasukan itu menampilkan prestasi kurang memberangsangkan dalam saingan liga apabila berada di tangga ke-5 dengan 11 mata di belakang pendahulu iaitu Al-Hilal.

Nuno Santo dan Benzema bergaduh selepas perlawanan dalam saingan AFC Champions League (ACL) menentang kelab Iraq, Al-Quwa Al-Juwiy dimana Ittihad tewas dengan keputusan 2-0.

Sebelum ini, AC Milan memecat Paolo Maldini sebagai pengarah teknikal kelab dimana mereka melakukan penstrukturan semula di bahagian pengurusan dan mahu jawatan tersebut diisi dengan orang baharu.

Sepanjang memegang jawatan tersebut, Maldini membantu AC Milan memenangi saingan Serie A pada musim 2021/22 dimana trofi tersebut merupakan kejuaraan pertama yang dimenangi sejak kali terakhir pada musim 2010/2011.

Selain itu, beliau juga membawa masuk gabungan pemain muda dan senior yang menjadi watak utama dalam kejayaan AC Milan ketika itu seperti Théo Hernandez, Rafael Leão, Olivier Giroud, Fikayo Tomori, dan Mike Maignan.

Sekiranya Maldini bersetuju untuk menyertai Al-Ittihad, maka beliau perlu membuat perancangan rapi mengenai bagaimana untuk menguruskan pasukan yang dipenuhi pemain bintang selain cuba untuk mencari pemain bintang yang seterusnya bagi kelab itu.