Cristiano Ronaldo telah menjadi pemilik bersama kelab divisyen kedua Sepanyol, UD Almeria selepas memperoleh pegangan saham sebanyak 25 peratus dalam kelab tersebut.
Penyerang Al-Nassr berusia 41 tahun itu membeli pegangan dalam Almeria, yang dimiliki oleh konsortium pelaburan Arab Saudi diketuai Mohammed Al-Khereiji, menerusi syarikat pelaburan baharunya, CR7 Sports Investments.
Walaupun butiran kewangan tidak didedahkan, Ronaldo dalam satu kenyataan berkata beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan barisan kepimpinan kelab bagi menyokong fasa seterusnya pertumbuhan kelab itu.

Impian Cristiano Ronaldo Tercapai
“Ia sudah lama menjadi cita-cita saya untuk menyumbang kepada bola sepak, bukan sekadar di atas padang.”
“UD Almeria adalah sebuah kelab Sepanyol yang mempunyai asas kukuh dan potensi jelas untuk berkembang,” ujar Ronaldo mendedahkan sebab beliau memilih kelab tersebut menurut sumber BBC.
Tahun lalu, SMC Group milik Al-Khereiji mengambil alih Almeria daripada Turki Al-Sheikh, yang merupakan Pengerusi General Entertainment Authority (GEA), sebuah jabatan kerajaan Arab Saudi.
Minggu lalu Cristiano Ronaldo membuat pelaburan bernilai $7.5 juta dalam platform teknologi kesihatan milik Herbalife.
Ronaldo memperoleh pegangan sebanyak 10% dalam HBL Pro2col Software LLC, sebuah anak syarikat Herbalife yang khusus dalam perisian kesihatan dan pemakanan.

Ronaldo menghabiskan sembilan tahun yang cukup cemerlang di Sepanyol bersama Real Madrid, memenangi La Liga sebanyak dua kali serta menjulang trofi UEFA Champions League (UCL) sebanyak empat kali sebelum menyertai kelab Itali, Juventus pada 2018.
Beliau beraksi bersama Al-Nassr dalam saingan Liga Pro Saudi sejak 2022 dan kini merupakan pemain bergaji tertinggi dalam sejarah bola sepak dengan pendapatan tahunan sebanyak £177 juta.
Almeria yang diasaskan pada 1989 kini berada di tangga ketiga Liga Segunda, ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Real Racing dengan 15 perlawanan berbaki.