Influencer yang juga suami kepada Aisyah Hijanah, Mohd Hazalif Mohd Hazani mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM63,605 termasuk untuk program berbuka puasa di Makkah, Syria dan Palestin, lapor Free Malaysia Today.
Lebih dikenali sebagai Alif Teega, 30, pengakuan tidak bersalah itu diucapkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen hari ini.
Baca Juga:
- ‘Demi Allah Aku Bawa Hingga Akhirat’ – Alif Teega Beri Amaran Adik Aisyah Henti Sebar Fitnah
- Dilabel ‘Baba Jahat’ Oleh Anak Kandung, Adik Aisyah Dakwa Alif Teega Pernah Pukul Isteri
- Peguam Tegur Aliff Teega Dan Aisyah Hijanah Kongsi Pengalaman Ditahan Reman SPRM
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hazalif didakwa secara tidak jujur menggunakan wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi program Infaq Iftar Di Makkah, Syria, Palestin pada 26 April.
Sementara bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM27,558.13 untuk program Jom Sertai Infaq Daging Qurban pada 15 Jun.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku di CIMB Bank, KL Gateway dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Memetik laporan itu lagi, tertuduh boleh dipenjara di antara enam bulan hingga lima tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala Alif diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan.
Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 selain meminta menyerahkan pasport dan melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Oktober depan.