Gelombang rasa tidak puas hati pengguna media sosial terhadap jenama penjagaan diri lelaki popular dari Indonesia, Kahf, nampaknya membuka ruang baharu kepada usahawan tempatan untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai sokongan terhadap barangan buatan Malaysia.

Isu berkenaan mula tercetus selepas akaun rasmi Kahf yang didakwa membuat hantaran bertujuan menyindir landskap bola sepak rantau ini.

Tindakan tersebut mengundang kemarahan warganet Malaysia hingga mencetuskan seruan boikot merentasi jenama.

Di tengah-tengah kehangatan kontroversi berkenaan, usahawan terkenal tanah air, Datuk Seri Aliff Syukri, tampil memuat naik hantaran di akaun Threads miliknya bagi mempersoalkan kecenderungan masyarakat tempatan yang sering mempromosikan produk luar berbanding jenama tempatan yang sudah lama bertapak.

“Pelik? Kenapa banyak orang promosi produk Kahf ini? Itu dah bagi publisiti percuma. Cuba sekali sekala promosikan produk D’Herbs Terlajak Laris, bantu sedikit saya sebab jenama ini sudah lebih 20 tahun di Malaysia,” luah Aliff Syukri.

 

View on Threads

 

Menurut beliau, sokongan padu masyarakat tempatan terhadap jenama tempatan bukan sahaja berupaya melonjakkan hasil jualan perniagaan tempatan, malah memberi pulangan semula kepada komuniti yang memerlukan melalui pembayaran zakat.

“Bolehlah saya naikkan sale untuk jualan, sekali gus boleh memberi sumbangan zakat yang lebih banyak untuk orang Malaysia yang susah,” tambahnya lagi.

Isu sindiran ‘beda level’ oleh jenama dari negara jiran itu ternyata menjadi pengajaran besar buat pengurusan pemasaran media sosial.

Meskipun hantaran tersebut telah dipadamkan dan permohonan maaf dibuat, sentimen pengguna tempatan memperlihatkan kesedaran baharu untuk mengutamakan jenama tempatan yang lebih menghormati sensitiviti pasaran Malaysia.