Alisson Becker memuji impak Carlo Ancelotti sejak ketibaannya sebagai ketua jurulatih Brazil, dengan mendakwa jurulatih dari Itali itu telah mengubah sepenuhnya suasana dalam bilik persalinan.
Menjelang perlawanan pembukaan Piala Dunia mereka, penjaga gol utama Brazil itu mengakui bahawa skuad tersebut telah melalui tempoh yang mencabar sebelum bekas pengendali Real Madrid itu mengambil alih tugas.
Carlo Ancelotti dijangka mencipta sejarah pada hari Sabtu ini sebagai pengurus asing pertama yang mengetuai Brazil ke Piala Dunia, dan penerimaan dalaman terhadap pelantikannya dilaporkan sangat positif.
Selepas mengambil alih tugas Brazil pada Mei 2025, ini merupakan pengalaman antarabangsa pertama Ancelotti sebagai jurulatih sepenuh masa.
Bercakap dari pusat latihan pasukan di Basking Ridge, Alisson menekankan perubahan dari segi psikologi dalam skuad sejak ketibaan jurulatih Itali itu.

Impak Besar Ancelotti
“Tidak dapat dinafikan bahawa tempoh sebelum ini sangat sukar bagi kami sebagai pemain. Kami sendiri merasai kesukaran yang kami hadapi, disebabkan beberapa faktor.”
“Sejak ketibaan Ancelotti, suasana telah berubah sepenuhnya,” ujar Alisson menurut sumber laporan Goal.
“Beliau mempunyai aura yang kuat dan memberikan kami ketenangan dalam persekitaran yang fokus kepada kerja, tanpa kontroversi.”
Alisson dalam pada itu turut percaya bahawa gabungan unik antara kerendahan hati dan pengetahuan taktikal elit legenda Itali itu menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula pasukan itu baru-baru ini.
“Dia seorang yang berdaya tahan, rendah hati, dan bijak dalam memilih kata-kata pada masa yang tepat. Ancelotti seorang pengurus yang hebat. Dia mempunyai idea bola sepak yang jelas, yang memudahkan gaya permainan kami.”
“Gabungan ini memberi kelebihan kepada pasukan. Saya melihat kegembiraan dan rasa syukur beliau kerana menjadi jurulatih Selecao.”
“Kedudukannya mungkin mempunyai lebih banyak tekanan daripada menjadi presiden negara, pada tahap tertentu,” tambah Alisson lagi.