Aaron Chia-Soh Wooi Yik memastikan bendera Malaysia masih berkibar megah dalam saingan All England 2024 apabila baharu sahaja mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
Selepas melihat dua rakan sepasukan, Lee Zii Jia dan Pearly Tan-M. Thinaah tumpas kepada lawan masing-masing, bekas juara dunia itu tampil dengan cukup garang pada perlawanan di Utilita Arena, Birmingham tersebut.
Baca Juga:
- All England 2024: Pearly-Thinaah Kandas Di Suku Akhir
- All England 2024: Pearly-Thinaah Singkirkan Beregu Nombor Satu Dunia
- All England 2024: Lee Zii Jia Kekalkan Momentum Cemerlang, Mara Ke Suku Akhir
Sandaran utama negara itu jelas berada di kelas tersendiri dan sukar digugat wakil Indonesia, Bagas Maulana-Muhammad Shohibul Fikri yang merupakan juara edisi 2022.
Hanya mendahului 11-10 pada rehat ‘interval’, Aaron dan Wooi Yik meningkatkan intensiti permainan dengan corak menyerang yang sekali gus memberikan kesukaran buat Bagas-Shohibul untuk mereka menang 21-14 di set pertama.
Cabaran lebih mudah dinikmati pasangan ranking kelima dunia itu pada set kedua yang semakin ghairah memburu mata berbekalkan serangan-serangan berbahaya dijelmakan.
Ia jelas dibuktikan apabila anak buah Tan Bin Sheng itu tidak berdepan masalah untuk mengesahkan kemaraan dengan kemenangan 21-11.
Lebih manis ia merupakan kemenangan kelima berturut-turut dilakarkan Aaron-Wooi Yik ke atas lawan tersebut sepanjang karier antarabangsa.
Menanti mereka di separuh akhir pada petang ini merupakan pasangan ranking ke-15 dunia, Lee Jhe-Huei yang menewaskan Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren 21-13, 21-17.
Berdasarkan rekod pertemuan, gandingan Malaysia tersebut berjaya memenangi kesemua tiga perlawanan ke atas lawan dari Chinese Taipei itu.