Lee Zii Jia meneruskan rentak cemerlang dalam saingan All England 2024 apabila berjaya mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Bertemu Loh Kean Yew yang merupakan bekas juara dunia, Zii Jia mempamerkan aksi bertenaga untuk menundukkan lawan dari Singapura tersebut dengan kemenangan ‘straight set’ 21-15, 21-12.

Baca Juga:

Ketika perlawanan dijangka berlangsung dengan sengit, asakan hebat diberikan Zii Jia sejak awal permainan jelas menjadi senjata utama buatnya.

Ia jelas dapat dibuktikan dengan kelebihan 8-0 dimiliki pemain ranking ke-10 dunia itu hingga menyaksikan Kean Yew beraksi dengan cukup berhati-hati.

Meskipun Kean Yew cuba untuk bangkit pada lewat permainan, Zii Jia menyerap tekanan dengan baik bagi memenangi set pertama dengan mata 21-15.

Skrip yang hampir sama berlaku pada set kedua selepas Zii Jia kelihatan cukup yakin dengan gaya permainannya hingga mendahului dengan jurang lapan mata pada kedudukan 19-11.

Beliau hanya membenarkan lawan tersebut menambah satu mata dan akhirnya mengesahkan kemenangan dengan 21-12.

Menanti Zii Jia di suku akhir All England esok ialah pemenang antara Lakshya Sen dari India yang akan bertemu Anders Antonsen (Denmark) sebentar lagi.

Sementara itu, hasrat untuk melihat kemaraan dua beregu campuran negara tidak kesampaian apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal mengambil peluang menang set pertama untuk tewas kepada wakil Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 21-17, 19-21, 16-21.

Manakala, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula tewas 17-21, 11-21 ditangan pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.