Pasangan Pearly Tan-M. Thinaah gagal meneruskan rentak cemerlang dalam kejohanan All England 2024 selepas tersingkir di peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Selepas melakar kejutan pada aksi pusingan 16 semalam, perjuangan beregu wanita nombor satu negara itu dihentikan oleh gandingan ranking ke-11 dunia, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto dalam aksi yang berlangsung lebih satu jam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Permulaan aksi bagaimanapun dilihat cukup baik buat Pearly dan Thinaah setelah mereka membuatkan Miyaura-Sakuramoto berada dalam keadaan tertekan.

Keadaan yang menyebabkan lawan dari Jepun itu banyak melakukan kesilapan mudah terutamanya menerusi tolakan sangkut ke jaring.

Selepas mendahului 13-10, Pearly-Thinaah tidak menoleh ke belakang lagi untuk menambah tujuh mata berturut-turut sekali gus menang 21-11.

Peringkat awal set kedua pula menyaksikan kedua-dua pasangan yang sudah bertemu dua kali itu saling kejar-mengejar mata dimana Pearly dan Thinaah mendahului 11-10 pada rehat ‘interval’.

Selepas pasangan negara mendapat tambahan dua mata, kehilangan fokus serta kesilapan mudah yang dilakukan membolehkan Miyaura-Sakuramoto mendapatkan enam mata berturut-turut untuk memegang kelebihan 16-13.

Pada ketika itu turut kelihatan Pearly mengalami sedikit kecederaan hingga memaksa beliau mendapatkan rawatan di luar gelanggang.

Walaupun Pearly-Thinaah cuba untuk memberikan tekanan pada lewat aksi, ia masih belum cukup untuk menghalang kemenangan 21-18 memihak pasangan Jepun itu bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Skrip sama ketika pertemuan menentang Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti semalam apabila Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto tampil garang pada set ketiga sekali gus memenangi perlawanan dengan 21-18.

Menanti mereka di separuh akhir ialah Nami Matsuyama-Chiharu Shida yang menang selepas Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard menarik diri ketika kedudukan 6-0.