Pearly Tan-M. Thinaah melakar kejutan pada aksi pusingan 16 kejohanan All England 2024 selepas menunjukkan jalan keluar buat pasangan beregu wanita nombor satu dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, sebentar tadi.
Tidak mahu episod aksi hambar yang dipamerkan sejak kebelakangan ini berterusan, Pearly dan Thinaah beraksi dengan tenang untuk memberikan tekanan buat gandingan dari China itu.
Baca Juga:
- All England 2024: Lee Zii Jia Kekalkan Momentum Cemerlang, Mara Ke Suku Akhir
- Senarai Lengkap Cabaran Pemain Malaysia Di Pusingan 16 All England 2024
- All England 2024: 4 Wakil Negara Lepasi Pusingan Awal, 4 Lagi Beraksi Hari Ini
Permainan rali dengan penuh kesabaran ditampilkan Pearly-Thinaah menyaksikan Qing Chen dan Yi Fan sering kali melakukan kesilapan mudah dan tidak dapat beraksi garang seperti kebiasaan.
Pearly-Thinaah berjaya mendahului 15-10 pada satu ketika di set pertama tetapi lawan tersebut cuba untuk bangkit mengejar pada kedudukan 17-16.
Skrip sama berulang ketika pasangan negara itu berada di mata akhir 20-16 dimana Qin Cheng-Yi Fan memadamkan kelebihan tersebut untuk pemenang terpaksa ditentukan menerusi mata ‘deuce’.
Anak didik Hoon Thien How itu bagaimanapun menyerap tekanan dengan cukup baik untuk menang 22-20 dan mereka mengekalkan momentum tersebut pada set kedua untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir dengan kemenangan 21-16.
Lebih manis ia merupakan kemenangan sulung buat Pearly dan Thinaah ke atas jaguh China itu dimana mereka tumpas pada lima perlawanan berturut-turut sebelum ini.
Pearly Tan-M. Thinaah akan bertemu pasangan Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto yang menundukkan gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 14-21, 21-10, 21-16 di suku akhir, esok.
Harapan terakhir negara pada pusingan 16 disandarkan kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan bertemu Chang Ko-Chi-Po Li Wei, awal pagi nanti.