Bekas pertahanan Al-Nassr, Alvaro Gonzalez berkongsi pandangan menarik mengenai karakter Cristiano Ronaldo di luar perhatian umum dengan menyifatkan bintang Portugal itu sebagai seorang yang mudah didekati apabila berada di belakang tabir.

Pemain pertahanan tengah Sepanyol itu menegaskan bahawa pemenang lima kali Ballon d’Or tersebut kekal sebagai seorang yang begitu merendah diri dan sentiasa memberikan sokongan kepada rakan sepasukan sejak pertama kali tiba di Riyadh.

Hubungan baik antara mereka meninggalkan kesan mendalam sepanjang tempoh bersama-sama menjadi tonggak kepada gergasi Liga Pro Saudi tersebut.

Bagaimanapun, Alvaro yang pernah bermain bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) mendedahkan perubahan ketara berlaku ketika di atas padang apabila Ronaldo bertukar menjadi seorang pesaing yang cukup garang dan begitu dahagakan kejayaan.

Alvaro Gonzalez Dedah Sisi Sebenar Cristiano Ronaldo

“Sejujurnya, selepas mengesahkannya dengan beberapa rakan sepasukan yang pernah bermain bersama kami, dia sememangnya seorang yang sangat hebat di dalam bilik persalinan.”

“Di dalam bilik persalinan, dia seorang yang sangat normal, mudah didekati dan sentiasa bersedia membantu anda.”

“Sebaik sahaja dia meninggalkan bilik persalinan dan melangkah ke atas padang, dia berubah sepenuhnya. Dia merupakan seorang pesaing yang begitu dahagakan kemenangan.”

Etika kerja keras Cristiano Ronaldo yang tidak pernah mengenal penat turut terserlah dalam sesi latihan apabila Gonzalez tidak pernah teragak-agak untuk terlibat dalam pertembungan fizikal sengit dengan penyerang Portugal tersebut.

Namun, segala pertembungan sengit itu berakhir dengan baik di luar padang: “Selepas itu, kami akan pergi ke jakuzi, bergelak ketawa dan bergurau bersama, sebelum melupakan segala-galanya,” ujar Alvaro Gonzalez menurut sumber laporan Goal.

 

Sumber