Amirul Zazwan Amir menganggap perpindahan ke Perak Bison sebagai satu cabaran baharu dalam kariernya kerana tidak pernah beraksi di negeri lain sepanjang penglibatannya dalam sukan tersebut.

Apit kiri berpengalaman itu menjadi antara pemain yang diperkenalkan Perak Bison bagi menghadapi saingan Sepak Takraw League (STL) musim 2026.

STL 2026: Keluar Dari Zon Selesa, Amirul Zazwan Sedia Sahut Cabaran Bersama Perak Bison

Menurutnya, peluang menyarung jersi Perak Bison memberikan pengalaman berbeza apabila beliau akhirnya memberanikan diri untuk keluar daripada zon selesa dan beraksi bersama pasukan di luar Kuala Lumpur dalam saingan STL.

Pengalaman Baharu Buat Amirul Zazwan

“Pertama kali syukur Alhamdulillah sebab Perak berjaya untuk mendapatkan khidmat saya. Saya bersyukur sebab saya dapat keluar daripada zon selesa saya,” ujar Amirul Zazwan bercakap kepada wartawan pada Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Rasmi Perak Bison di Sentra Mall, Klebang semalam.

“Saya cuba terima cabaran yang baharu untuk bermain di negeri orang. Sebab selama saya bermain takraw, saya tak pernah keluar. Ini adalah kali pertama saya keluar ke negeri orang.”

“Saya harap saya dapat bermain dengan sangat baik. Ya kita sebagai pemain kita kena ambil risiko itu dan saya berharap diri saya dapat menunjukkan prestasi yang terbaik untuk membantu pasukan Perak kekalkan kejuaraan.”

Perak Bison

“Tetapi saya berharap satu pasukan, pengurusan pemain semua kita dapat satu hati terlebih dahulu, itu paling penting.”

“Saya pun cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, saya berharap benda ni akan berjalan dengan baik,” tambah beliau lagi.