Pempengaruh tempatan yang membuat kontroversi di Indonesia dan rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan gaduh gempar dalam satu perlawanan tinju, Selasa lalu.
Tertuduh, Ammar Mohd Nazhan Noralyadi, 29, dan rakannya, Muhammad Hafizul Haiman, 23, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
Baca Juga:
- Ammar Nazhan Mengaku Tak Bersalah Bergaduh Di Restoran Bukit Bintang
- Ammar Nazhan Dedahkan Arasz Pergunakan Mereka Untuk Buat Konten Orang Hilang
- Aisar Khaled Tegur Ammar Nazhan Untuk Buat Konten Bermanfaat
Memetik Harian Metro, kedua-duanya didakwa melakukan gaduh gempar di sebuah restoran di pusat beli-belah di Bukit Bintang pada jam 10.15 malam, 25 Februari lalu.
Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah seksyen yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, peguam K Ramalingam yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan minimum berikutan anak guamnya yang bekerja sebagai pencipta kandungan hanya berpendapatan RM2,000 sebulan.
“Kedua-dua anak guam tidak berkahwin, tetapi menjaga ibu bapa yang sudah tua.
“Mohon mahkamah memberikan bon jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh,” katanya.
Memetik laporan itu lagi, Aina Azahra membenarkan jaminan RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 April untuk sebutan kes.
Sementara itu, di mahkamah sama, empat individu didenda masing-masing RM500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sama.
Tertuduh, Abdul Rahim Abd Hakim, 23, Muhammad Ady Putra Amirul Abdul Rahman, 18, Muhammad Al Mubarak Bahauddin Selamet, 28, dan Jebat Zulfar Nurfakhrullah Abd Ghapar, 24, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Aina Azahra.
Aina Azahra turut memerintahkan keempat-empat mereka dipenjara selama satu bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, Abdul Rahim, Muhammad Ady Putra, Muhammad Al Mubarak dan Jebat Zulfar yang kesemuanya tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman mereka dikurangkan masing-masing atas alasan sudah menyesal dan insaf, menanggung isteri, anak-anak, dan keluarga serta perlu membayar komitmen bulanan.