Keluarga Beckham yang selama ini dilihat sempurna dan bahagia kini berdepan krisis paling mengejutkan apabila Brooklyn Beckham dilaporkan menghantar surat undang undang kepada ibu bapanya sendiri – lapor Daily Mail.

Krisis keluarga Beckham itu, bukan sekadar perang mulut antara keluarga, namun sudah melibatkan proses perundangan.

Malah ketika ini, Brooklyn dan isterinya memberitahu Beckham dan Victoria, mereka hanya boleh berhubung menerusi peguam mereka.

Anak sulung Beckham itu nekad menghantar surat guaman kepada ibu bapa sendiri selepas Victoria Beckham dikatakan tidak menghormati permintaannya sebelum ini dengan menyukai hantarannya di Instagram.

Menurut laporan media antarabangsa, Brooklyn menetapkan agar David dan Victoria Beckham tidak lagi menyebut atau menandainya [tag] di media sosial, malah meminta sebarang komunikasi dilakukan melalui wakil guaman.

Walaupun tiada saman difailkan, tindakan ini dianggap simbolik bahawa hubungan mereka tidak lagi normal sebagai sebuah keluarga.

Media sosial ‘dipadam’ satu persatu

Lebih mencetuskan tanda tanya, Brooklyn dikatakan telah menyekat ibu bapanya di Instagram, manakala isterinya, Nicola Peltz, pula memadam semua gambar, jejak digital dan rujukan berkaitan keluarga Beckham daripada akaun peribadinya.

Langkah ini membuatkan netizen percaya bahawa konflik ini bukan sementara, tetapi disengajakan.

Brooklyn memberitahu wartawan bahawa dia kecewa dengan ibu bapanya yang masih melayannya seperti anak kecil bukannya lelaki dewasa.

Di mana Beckham dan Victoria masih mengawal kelakuan anak mereka itu dan akan menegur malah memarahinya apabila dia melakukan kesalahan atau perkara yang dianggap tidak elok.

Nicola Peltz jadi perhatian netizen

Nicola turut dikaitkan dengan dakwaan menyukai komen netizen yang mengkritik David dan Victoria, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa beliau memainkan peranan besar dalam keretakan hubungan keluarga ini.

Namun setakat ini, pasangan Brooklyn–Nicola memilih untuk berdiam diri.

“Kami masih ibu bapa dia”

Sumber terdekat keluarga Beckham mendakwa David dan Victoria terkejut dan kecewa, namun masih berharap hubungan dapat dipulihkan. Malah, mereka dikatakan tidak pernah berniat memutuskan hubungan dengan Brooklyn.

Mereka masih berharap agar konflik ini dapat diselesaikan.