Demi menjamin masa hadapan yang baik, gadis bawah umur warga Rohingya sanggup melakukan perjalanan jauh lari dari negara asal mereka untuk mencari perlindungan dengan berkahwin dengan warga tempatan.

Menurut laporan Associated Press, keadaan di Myanmar dan kem pelarian di negara Bangladesh semakin buruk, jadi mereka tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada lari ke Malaysia untuk perkahwinan yang telah diatur dengan lelaki Rohingya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Semua gadis yang ditemu bual AP berkata, suami jarang membenarkan mereka keluar. Mereka juga dipukul dan dirogol semasa dalam perjalanan ke Malaysia, sebahagian lagi pula berkata mereka didera oleh suami. Separuh kanak-kanak perempuan hamil atau mempunyai bayi, walaupun kebanyakannya tidak bersedia untuk menjadi ibu.

Kebanyakan gadis ini perlu membayar sehingga RM18,000 untuk melakukan perjalanan daripada Myanmar ke Malaysia. Wang itu bukan sahaja untuk menampung kos perjalanan, tetapi sebahagian daripada janji bahawa masa hadapan mereka kononnya lebih cerah selepas berkahwin.

“Ini adalah satu-satunya jalan keluar saya,” kata F berusia 16 tahun yang menyaksikan sendiri bagaimana askar Myanmar membakar rumahnya dan membunuh ibu saudaranya. “Saya belum bersedia untuk berkahwin, tetapi saya tidak mempunyai pilihan.”

Perkahwinan yang dirancang adalah sebuah bentuk kekejaman baharu yang dihadapi oleh warga Rohingya. Sikap tidak peduli masyarakat global terhadap krisis Rohingya dan dasar penghijrahan yang ketat menyebabkan gadis-gadis ini hampir tiada pilihan.

Semasa krisis bot Laut Andaman 2015, di mana ribuan pelarian Rohingya terkandas di laut, sebahagian besar penumpang adalah lelaki. Tahun ini, lebih 60% daripada Rohingya yang terselamat dari lintasan Andaman adalah wanita dan kanak-kanak, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Statistik tepat berapakah bilangan pengantin kanak-kanak warga Rohingya yang tinggal di Malaysia tidak wujud. Tetapi peguam bela yang bersama dengan gadis-gadis itu berkata mereka telah melihat peningkatan dalam ketibaan sejak dua tahun lalu.

“Terdapat ramai orang Rohingya yang datang untuk berkahwin,” kata Nasha Nik, pengarah eksekutif Rangkaian Pembangunan Wanita Rohingya, yang telah bekerja dengan ratusan pengantin kanak-kanak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Untuk rekod, sejak 2017 warga Rohingya telah melarikan diri dari negara mereka selepas berlakunya ‘pembersihan etnik’.

Bagaimanapun, pada awal tahun 2020 Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengeluarkan amaran tegas kepada Myanmar untuk menghalang pembunuhan umat Islam di sana.