Robin Räikkönen, pelumba muda yang kian melonjak naik, menyertai Program Pembangunan Pemandu Red Bull bermula tahun 2027 sebagai langkah ke arah saingan Formula Satu (F1).

Anak kepada Juara Dunia F1 2007, Kimi Räikkönen, telah menunjukkan bakat luar biasa dalam sukan perlumbaan karting sejak kecil lagi. Beliau telah meraih pelbagai kejayaan dalam kejohanan Rotax dan WSK di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Prinsipal Pasukan Red Bull, Laurent Mekies, memuji kualiti yang dimiliki pelumba muda Finland tersebut.

“Robin telah membuktikan keupayaan yang luar biasa dalam sukan karting. Kelajuan, pemikiran di litar dan bakat semula jadinya menjadikan beliau antara pelumba muda paling berpotensi bagi kategori usianya,” kata Mekies.

Beliau menambah bahawa pihak pasukan komited untuk membimbing Robin secara berperingkat tanpa memberi tekanan berlebihan, sekali gus menyediakan persekitaran terbaik untuk memaksimumkan potensi pelumba itu.

Dalam pada itu, Kimi Räikkönen menyuarakan rasa bangga dan teruja atas peluang yang diberikan kepada anaknya untuk menyertai program yang pernah melahirkan nama-nama besar seperti Sebastian Vettel dan Max Verstappen.

“Red Bull menawarkan program yang komprehensif bagi memupuk perkembangan Robin. Merupakan satu penghormatan besar buat Robin untuk menyertai program berprestij ini, dan beliau akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi membalas kepercayaan yang diberikan,” ujar Kimi.

Sebagai rekod, Kimi Räikkönen merupakan salah seorang pelumba paling berjaya dalam sejarah F1 dengan catatan 21 kemenangan Grand Prix dan 103 penamat pentas podium sepanjang 19 musim penglibatannya.