Sweden telah mengesahkan tempat mereka ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali kelapan dalam sejarah selepas keputusan seri 1-1 yang sukar menentang Jepun.

Keputusan yang menyaksikan skuad kendalian Graham Potter itu mara selaku salah satu daripada pasukan tangga ketiga terbaik dalam kalangan 12 pasukan.

Namun di sebalik kemaraan itu, penjaring gol Anthony Elanga membuat pengakuan mengejutkan bahawa beliau langsung tidak sedar bahawa satu mata sudah mencukupi untuk membawa skuad Blue and Yellow itu ke pusingan 32.

Perlawanan yang kurang menarik pada separuh masa pertama tanpa sebarang jaringan bertukar menjadi lebih menarik selepas rehat. Jepun membuka tirai jaringan pada minit ke-56 apabila Daizen Maeda menyempurnakan satu gerakan hantaran kemas, namun Sweden segera membalas menerusi Anthony Elanga.

Pemain Nottingham Forest itu memotong masuk dari sebelah kanan sebelum melepaskan rembatan cantik menggunakan kaki kirinya yang lemah untuk menyamakan kedudukan buat pasukannya.

Gol tersebut merupakan gol kedua Elanga dalam kejohanan ini dan akhirnya cukup untuk memastikan Sweden mengutip satu mata penting bagi melayakkan diri sebagai salah satu pasukan tempat ketiga terbaik.

Ketika bangku simpanan Sweden sibuk mengira pelbagai kemungkinan kelayakan, Elanga mendedahkan bahawa fokus utamanya hanyalah untuk mencari gol kemenangan.

Detik Kelakar Buat Elanga

“Saya hanya menjerit: ‘Ayuh, kita boleh dapat lebih lagi’. Saya gembira kami layak, saya tidak tahu pun perkara itu pada akhirnya,” akui penyerang itu menurut sumber laporan Goal.

Elanga kemudiannya begitu bertekad untuk terus menekan lawan sehingga beliau  dikatakan tidak mengendahkan arahan yang disuarakan dari tepi padang.

Pemain berusia 24 tahun itu menjelaskan bahawa jurulatih veteran Sebastian Larsson dan beberapa staf kejurulatihan lain cuba menyampaikan maklumat tentang kedudukan kumpulan ketika masa semakin suntuk.

“Saya rasa mereka cuba menjerit kepada saya. Saya memang mahu terus berlari. Saya mengalami kekejangan pada penghujung perlawanan tetapi tidak mahu berhenti berlari. Saya gembira dan seluruh pasukan juga gembira.”

Melihat kepada gelagat Elanga, Alexander Isak turut meluahkan rasa tidak percaya, malah mengakui dia menegur Elanga selepas mengetahui pemain itu langsung tidak sedar tentang situasi kelayakan.

“Dia agak kecewa di penghujung perlawanan dan sekarang kita boleh faham kenapa.”

 

Sumber