Anthony Taylor dan Michael Oliver terpaksa melupakan peluang untuk mengadili dua aksi terakhir Piala Dunia 2026 apabila faktor bola sepak dan sejarah politik menutup ruang buat kedua-dua pengadil England itu.
Faktor pertama kerana England bakal beraksi pada penentuan tempat ke-3/4 bertemu Sepanyol pada awal pagi Ahad nanti.
Namun, walaupun England tidak beraksi di final, peluang Oliver dan Taylor tetap tertutup berikutan satu lagi faktor sensitif membabitkan Argentina apabila mereka tidak dipertimbangkan untuk mengendalikan perlawanan kemuncak antara Argentina dan Sepanyol.

Menurut sumber laporan ESPN, pelantikan pengadil dibuat berdasarkan setiap kes secara berasingan dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk sensitiviti politik dan ketegangan lama antara England serta Argentina susulan Perang Falkland 1982.
Sensitiviti antara kedua-dua negara bukan sekadar berkait dengan sejarah perang, malah turut muncul dalam beberapa situasi sepanjang kejohanan.
ESPN turut mendedahkan bahawa rakaman video turut muncul menunjukkan pemain Argentina menyanyikan lagu “Muchachos” selepas kemenangan mereka ke atas Mesir dalam pusingan 16 terbaik.
Lagu tersebut mempunyai rujukan terhadap Kepulauan Falkland, wilayah yang menjadi punca tercetusnya konflik antara Britain dan Argentina pada 1982.
Perang Falkland merupakan konflik antara Britain dan Argentina berhubung pertikaian kedaulatan Kepulauan Falkland di Atlantik Selatan yang berlaku dari 2 April hingga 14 Jun 1982 serta mengorbankan 907 nyawa.
Kemaraan England ke peringkat separuh akhir kali ini turut memberi kesan kepada pengadil Argentina, Facundo Tello yang tidak layak mengendalikan aksi final sekiranya skuad kendalian Thomas Tuchel berjaya mara.
Malah dengan situasi ini, Tello juga tidak akan dipilih untuk mengadili perlawanan penentuan tempat ketiga.

Bukan Kali Pertama Anthony Taylor Berdepan Situasi Sama Di Piala Dunia
Dasar tidak melantik pengadil dari England ini turut digunakan ketika Piala Dunia 2022 di Qatar.
Peraturan tersebut menyebabkan Anthony Taylor tidak berpeluang mengadili perlawanan akhir ketika Argentina bertemu Perancis.
Difahamkan, Anthony Taylor sebenarnya berada dalam pertimbangan kuat untuk menerima penghormatan tersebut sekiranya Perancis bertemu Croatia di final.