Pemain sayap, Antony kini sedang berada dalam fasa pemulihan prestasi selepas memilih untuk menyertai kelab LaLiga, Real Betis secara pinjaman.

Impak pantas juga telah dijelmakan pemain berusia 24 tahun ini apabila beliau beraksi cemerlang hingga dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan bagi tiga aksi berturut-turut dalam kempen liga.

Baca Juga:

Dalam pada itu, beliau sudah menghasilkan tiga gol dan mencipta satu bantuan jaringan dalam empat aksinya bersama Real Betis.

Ia termasuklah jaringan voli menarik diledakkannya ketika membantu Real Betis menundukkan Real Sociedad 3-0 di Estadio Benito Villamarin pada Isnin lalu.

Satu keadaan yang nyata cukup berbeza ketika beliau menghadapi detik-detik sukar sewaktu menyarung jersi Manchester United.

Rahsia kembali cemerlang dari kaca mata Antony

Sehubungan dengan itu, Antony tampil mendedahkan bagaimana beliau dapat mengubah senario tersebut sebaik sahaja berhijrah ke kelab Sepanyol tersebut.

“Perkara yang paling penting adalah untuk gembira dan saya sangat gembira di Real Betis,” ujar Antony menurut sumber laporan Goal.

“Segalanya-galanya berlaku secara semulajadi. Di sini saya dapat menunjukkan permainan bola sepak yang telah membawa saya untuk berkelana ke Eropah.”

“Saya tidak menetapkan sasaran jumlah jaringan perlu dihasilkan. Saya terus bekerja keras, menikmati kehidupan dan memberikan tumpuan setiap hari.”

“Mari teruskan seperti (prestasi baik) ini,” tambah beliau lagi.

Antony yang mengharapkan agar dapat meneruskan rentak cemerlang bersama Real Betis akan kembali semula ke Manchester United pada penghujung musim kerana tiada pilihan perpindahan secara tetap dimeterai.

Oleh itu, beliau berkemungkinan akan mendapat ‘peluang kedua’ bersama kelab English Premier League (EPL) bagi menghadapi musim 2025/26 nanti.