Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah naik ke tangga ke-10 dalam senarai The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2026 yang diterbitkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) di bawah Royal Aal al-Bayt Institute for Islamic Thought, Amman, Jordan baru-baru ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, sebelum ini menduduki tangga ke-15 pada tahun 2025 dan ke-17 pada tahun 2024, petik The Star.
Baca Juga:
- Sidang Kemuncak ASEAN: Anwar Ibrahim Beri Premier China Lihat Dua Model Baharu Proton

- ‘Bercuti Di Langkawi Sepatutnya Lebih Murah Daripada Negara Jiran’ – Anwar Ibrahim

- ‘Himpunan Khas Sambut Kepulangan Aktivis Sumud Flotilla Bakal Dianjurkan’ – Anwar Ibrahim

Laporan itu menyorot perjalanan panjang Anwar sejak zaman beliau sebagai pelajar di Universiti Malaya sehinggalah pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022.

Beliau digambarkan sebagai seorang tokoh yang melalui pelbagai cabaran politik, termasuk tempoh pemenjaraan, penyingkiran daripada jawatan, serta perjuangan panjang sebagai ketua pembangkang sebelum kembali memimpin pentadbiran negara.
Penerbitan itu turut memetik peranan Anwar dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja susulan insiden pertembungan di sempadan, yang membantu memperkukuh imej Malaysia sebagai pendamai serantau.
“Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh, sekali gus mengukuhkan imej Malaysia sebagai pengantara keamanan yang konstruktif di Asia Tenggara,” menurut laporan tersebut.
Berhubung isu genosid di Gaza, Anwar dikenali sebagai seorang pemimpin yang lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin dan mengecam kekejaman rejim Zionis.
Beliau juga secara terbuka mengkritik syarikat Meta kerana memadam hantaran takziah terhadap pemimpin Hamas yang terkorban, menyifatkan tindakan itu sebagai pengecut dan menggesa syarikat berkenaan supaya tidak tunduk kepada tekanan Israel.
Penyenaraian ini mengiktiraf kepimpinan Anwar dalam memperjuangkan keadilan sosial, tadbir urus Islam progresif serta komitmennya terhadap keamanan serantau dan solidariti umat Islam di peringkat global.
Tempat teratas dalam edisi 2026 diberikan kepada Ketua Negara Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.