Tiga buah kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa barang barang keperluan asas seperti bantuan makanan dan perubatan untuk Gaza telah dipintas oleh IDF.

Beberapa video turut tular di media sosial memaparkan detik cemas, kapal yang membawa misi kemanusiaan itu dipintas.

Menurut Global Sumud Flotilla, sistem komunikasi 3 kapal mereka telah disabotaj dan dinaiki secara paksa oleh pihak IDF. Komunikasi di antara kapal mereka dengan kapal lain terputus, selepas insiden itu.

GSF menegaskan bahawa mereka akan  tetap meneruskan misi kemanusiaan tersebut. Pada masa yang sama meminta pemimpin dunia agar  mendesak Tel Aviv untuk memberikan jaminan keselamatan kepada semua yang  berada di dalam kapal tersebut, dan membebaskan mereka.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara pemimpin yang mengutuk tindakan IDF itu. Terutama sekali melibatkan keselamatan rakyat Malaysia yang turut mengikuti misi tersebut.

Anwar dalam kenyataannya berkata: “Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas Global Sumud Flotilla.

“Kapal-kapal ini membawa orang awam yang tidak bersenjata serta bekalan kemanusiaan yang amat diperlukan untuk Gaza, namun telah disambut dengan intimidasi dan paksaan.

“Dengan menghalang misi kemanusiaan ini, Is*ael telah menunjukkan penghinaan mutlak bukan sahaja terhadap hak rakyat Palestin tetapi juga terhadap hati nurani dunia.

“Flotilla ini melambangkan solidariti, belas kasihan dan harapan untuk memberi kelegaan kepada mereka yang hidup di bawah sekatan.

“Malaysia akan menggunakan segala cara yang sah dan menurut undang-undang yang ada pada kita untuk memastikan I*rael dipertanggungjawabkan, khususnya dalam hal yang melibatkan warganegara Malaysia.

“Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah yang paling utama, dan kita tidak akan membiarkan ia dikompromikan sewenang-wenangnya.

“Selagi rakyat Palestin dinafikan hak-hak asasi dan aspirasi mereka, Malaysia akan terus berdiri teguh bersama mereka. Kita tidak akan berundur dalam menuntut pengakhiran kepada kezaliman dan perampasan yang telah menghantui Palestin sejak sekian lama.”