Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengutus surat rasmi kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, bagi meminta kerjasama beliau melihat isu pelaburan Federal Land Development Authority (FELDA) dalam syarikat minyak sawit Indonesia, Eagle High Plantations TPK (EHP).
Anwar menegaskan pelaburan EHP merupakan contoh kegagalan pelaburan berbilion ringgit yang tidak wajar diulangi.
Beliau memaklumkan bahawa keputusan timbang tara yang memihak kepada FELDA kini tertangguh disebabkan tindakan undang-undang di mahkamah Indonesia, petik Free Malaysia Today.
Jika isu ini gagal ditangani dengan berkesan, Malaysia berdepan risiko kerugian sehingga RM2.5 bilion dan mungkin hanya mampu memperoleh semula sekitar RM200 juta.
“Isu yang dibangkitkan membabitkan hotel di London atau Kuching, itu masalah kecil. Isu yang paling besar termasuk pelaburan di Indonesia membabitkan EHP yang sekarang tersangkut di mahkamah.
“Saya sudah menulis surat kepada Presiden Prabowo meminta beliau melihat juga permasalahan ini. Kerugian kalau tidak ditangani, (adalah) RM2.5 bilion, yang mungkin kita peroleh nanti hanya RM200 juta. Ini satu contoh,” katanya berucap pada sesi ramah mesra Perdana Menteri bersama pengurusan tertinggi dan pengurus FELDA, di sini, hari ini, petik Berita Harian.