Argentina dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan Cape Verde 3-2 untuk melangkah ke pusingan 16 Piala Dunia 2026 pada aksi yang berlangsung di Miami Stadium sebentar tadi.
Gol kemenangan Argentina hadir menerusi gol sendiri pertahanan Cape Verde, Diney Borges pada minit ke-111.
Ketika Argentina dilihat mungkin tidak akan berdepan sebarang masalah untuk mengesahkan kemaraan, anak buah Bubista tidak membenarkan keadaan tersebut berlaku.
Malah dua kali kelebihan dimiliki juara bertahan itu menerusi Lionel Messi pada minit ke-29 dan Lautaro Martinez (minit ke-92) dipadamkan oleh Deroy Duarte (minit ke-59) dan Sidny Lopes Cabral padea minit ke-103.
Pada perlawanan tersebut, Cape Verde mengancam seawal minit-minit pertama perlawanan. Secara keseluruhan, mereka bermain dengan pendekatan yang berani dan terbuka, malah menguji Emiliano Martinez dalam tempoh 10 minit pertama.
Namun begitu, Argentina tidak mengambil masa lama untuk menemui rentak permainan mereka. Argentina tampil lebih tenang dan tersusun, bijak mencari ruang, menguasai penguasaan bola serta melancarkan serangan pada waktu yang tepat.
La Albicelesta berjaya menghasilkan jaringan. Segalanya bermula dengan satu hantaran jauh. Lisandro Martinez melambungkan bola melepasi garisan pertahanan lawan sebelum Messi melakukan selebihnya dengan sentuhan kawalan yang cukup kemas sebelum menyudahkan peluang itu ke dalam gawang.
Argentina terus mencipta beberapa peluang selepas itu. Enzo Fernandez dinafikan dua kali hasil aksi cemerlang penjaga gol, Vozinha. Manakala Messi pula sentiasa mengancam pertahanan Cape Verde.
Namun, kelebihan 1-0 itulah sahaja yang dibawa Argentina ke bilik persalinan.
Ia ternyata belum mencukupi apabila Cape Verde terus bersemangat melancarkan serangan. Kelalaian Argentina akhirnya membawa padah apabila Cape Verde berjaya memperoleh gol penyamaan.
Enzo Fernandez gagal mengekori pergerakan Deroy Duarte hingga membolehkan pemain tengah menyerang itu menerima hantaran, berpusing dengan kemas sebelum melepaskan rembatan rendah yang menewaskan Emiliano Martinez.
Selepas itu keadaan menjadi sedikit kelam-kabut. Argentina yang kebiasaannya tenang mula kelihatan gelisah. Hantaran-hantaran mereka menjadi tergesa-gesa dan kesilapan mula menghantui corak permainan mereka.
Vozinha, wira Cape Verde ketika mengikat Sepanyol dalam aksi pembukaan, sekali lagi tampil cemerlang. Beliau menafikan dua percubaan Messi menerusi situasi satu lawan satu dan kemudiannya menyelamatkan sepakan percuma Messi pada masa kecederaan babak kedua.
Masa tambahan bermula dengan baik buat Argentina. Lisandro Martinez menenangkan keadaan apabila meledak gol kedua pasukannya menerusi rembatan padu yang menerjah bumbung gawang.
Namun, Cape Verde sekali lagi memberikan tindak balas. Sidny Lopes Cabral melepaskan rembatan lencong yang singgah di penjuru atas gawang dari sudut yang hampir mustahil, sekali gus menyamakan kedudukan 2-2.
Bagaimanapun, Argentina lebih tajam dalam penyudah. Messi melakukan sepakan penjuru yang tepat ke arah Cristian Romero, dan ketika perebutan bola di udara itu Diney Borges tertanduk menanduk masuk gol ke gawangnya sendiri untuk gol kemenangan Argentina hanya beberapa minit sebelum tamat masa tambahan.
Asakan lewat Cape Verde akhirnya berjaya dipatahkan. Ia hampir-hampir menjadi satu bencana buat skuad kendalian Lionel Scaloni itu, namun mereka berjaya bertahan.
Ia turut memberikan isyarat jelas bahawa peluang untuk sekali lagi menjulang Piala Dunia masih terus menyala.