Kejayaan Cape Verde mara ke pusingan 32 kempen Piala Dunia 2026 memang merupakan satu kejutan besar meskipun berada dalam kumpulan bersama Sepanyol, Uruguay dan Arab Saudi.

Tiga keputusan seri yang dicatatkan skuad kendalian Bubista itu sudah cukup untuk meletakkan Cape Verde di kedudukan kedua saingan kumpulan H.

Lebih menarik, pasukan dari Afrika itu akan bertemu juara bertahan, Argentina di pusingan 32 dimana kedua-dua pasukan akan beraksi pada awal pagi Sabtu nanti.

Meskipun dilabel sebagai pasukan ‘underdog’, skuad dengan jolokan ‘Jerung Biru’ itu dijangka turun dengan penuh keyakinan apabila berdepan Argentina yang dibarisi bintang-bintang besar dalam aksi pusingan 32 itu.

Penjaga gol, Vozinha pastinya sekali lagi akan menjadi tumpuan selepas aksi menarik terutamanya ditampilkan ketika mereka dengan cemerlang mengikat Sepanyol.

Presiden Yakin Cape Verde Mampu Tewaskan Argentina

Melihatkan kepada prestasi pasukan, Presiden Cape Verde, Jose Maria Neves meramalkan bahawa negaranya mampu menewaskan  Argentina untuk terus melakar sejarah buat negara tersebut.

“Saya rasa Cape Verde boleh menewaskan Argentina 1-0,” ujar beliau menurut sumber laporan BBC.

“Kami bermain untuk menang, apabila jangkaan terhadap sesuatu pasukan itu rendah dan jika pasukan itu mempunyai keinginan untuk menang, ia adalah mungkin berlaku.”

“Sebuah negara kecil seperti Cape Verde perlu sentiasa berusaha melakukan perkara itu untuk sentiasa mengejutkan orang ramai.”

“Kami memiliki 100% kepercayaan, 100% harapan, dan kami akan benar-benar membasahi jersi dengan peluh. Jadi, kami mempunyai 100% peluang untuk menang menentang Argentina.”

“Kami datang ke Piala Dunia ini untuk menulis takdir kami sendiri, iaitu berdepan juara.”

“Jadi, kami akan menentang Argentina dan Messi dengan keazaman yang sama, semangat yang sama, serta keinginan untuk menang dan mara ke fasa seterusnya,” tambah beliau lagi.

Sumber