Sepanyol dan Cape Verde mencatatkan keputusan positif untuk membolehkan kedua-dua pasukan mengesahkan tempat ke pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026 sebagai wakil kumpulan H.

Sepanyol yang dilabel sebagai calon juara memperoleh kemenangan kedua selepas menundukkan Uruguay hasil jaringan tunggal Alex Baena pada minit ke-42 untuk muncul juara kumpulan.

Keadaan tersebut menyaksikan Uruguay langsung tidak berupaya untuk mengintai slot selaku lapan pasukan terbaik dalam kalangan pasukan yang menduduki tempat ketiga apabila hanya mampu mengumpul dua mata.

Cape Verde Lakar Sejarah Lagi

Manakala keputusan seri tanpa jaringan dicatatkan Cape Verde ke atas wakil Asia, Arab Saudi menyaksikan sejarah dicipta negara tersebut untuk turut sama melangkah ke pusingan kalah mati sebagai pasukan tangga kedua.

Walaupun merupakan pendatang baharu dan dianggap sebagai pasukan belasahan pada awal kejohanan, disiplin taktikal serta semangat juang tinggi yang dipamerkan skuad kendalian Bubista itu menjadi faktor utama mereka mampu bersaing dengan pasukan lebih berpengalaman di pentas dunia.

Malah satu lagi tugas penuh mencabar bakal dihadapi Cape Verde apabila mereka akan bertemu juara bertahan, Argentina pada pusingan 32 nanti.

Manakala Sepanyol pula bakal membuat perhitungan dengan naib juara kumpulan J iaitu pemenang antara Austria bertemu Algeria.