Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi berada dalam kelas tersendiri selepas dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali ketiga berturut-turut pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK23).

ABK23 menyaksikan kecemerlangan buat Arif Aiman, bintang muda berusia 22 tahun yang berjaya mempertahankan gelaran itu selepas kali pertama dinobatkan sebagai MVP ketika usianya 19 tahun pada ABK21.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Susulan prestasi cemerlangnya bersama JDT pada tahun 2023 melayakkan Arif untuk meraih anugerah tersebut selain turut menjadi nadi utama pasukan dalam membantu JDT meraih kejuaraan Liga Super selama sedekad musim lalu.

Dan menariknya, Arif menjadi pemain pertama yang memenangi MVP selama tiga tahun berturut-turut selepas bekas penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha melakukannya pada tahun 2010 sehingga 2012.

“Syukur Alhamdulillah kerana saya berjaya meraih anugerah MVP buat kali ketiga dan sebenarnya pun tak sangka juga sebab saya baru sahaja berusia 22 tahun.

“Saya gembira dengan segala usaha yang saya lakukan selama ini untuk menang anugerah ini dan sudah tentu kejayaan ini akan memberi semangat untuk saya buat yang lebih baik.

“Saya tidak akan pernah rasa cepat berpuas hati dan seperti biasa saya akan terus berusaha buat yang terbaik untuk diri sendiri dan juga kelab (JDT),” katanya.

Selain itu, pemain kelahiran Kuantan, Pahang ini turut mendominasi empat lagi anugerah lain iaitu Penyerang Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia 2023 serta berkongsi Anugerah Kasut Emas-Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super bersama penyerang Selangor FC, Faisal Abdul Halim.

Ini juga merupakan musim ketiga Arif dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik sejak memenanginya pada tahun 2021 selepas membuktikan ketajamannya sebagai penyerang untuk meraih sebanyak 21 gol secara keseluruhan musim lalu.

Secara keseluruhan, ABK23 menyaksikan kelab JDT berjaya menguasai 9 kategori utama yang dipertandingkan pada kali ini.
Selain lima anugerah yang telah dirangkul oleh Arif, empat lagi trofi dibawa pulang oleh penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi apabila berjaya mempertahankan gelaran Penjaga Gol Terbaik dan Afiq Fazail pula memenangi Pemain Tengah Terbaik buat kali kedua.

Senarai Pemenang ABK23

Pemain Paling Bernilai (MVP) – Arif Aiman Hanapi (JDT)

Jurulatih Terbaik – Tan Cheng Hoe (Selangor)

Penjaga Gol Terbaik – Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (JDT)

Pertahanan Terbaik – Azam Azmi Murad (Terengganu FC)

Pemain Tengah Terbaik – Afiq Fazail (JDT)

Penyerang Terbaik – Arif Aiman Hanapi (JDT)

Pemain Import Terbaik – Bergson Da Silva (JDT)

Pemain Muda Terbaik – Arif Aiman Hanapi (JDT)

Gol Terbaik Liga Malaysia 2023 – Arif Aiman Hanapi (JDT)

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super – Arif Aiman Hanapi (JDT)/Faisal Abdul Halim (Selangor)

Penjaring Terbanyak Liga Super – Ayron Del Valle (Selangor)

Pasukan Terbaik – JDT

Anugerah Fair Play – Terengganu FC

Anugerah Pemain Terbaik Piala MFL – Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC)

Penjaring Terbanyak Piala MFL – Ebenezer Assifuah (KDA B)