Arne Slot dengan berani menegaskan bahawa beliau tidak akan memberi tumpuan kepada aspek pertahanan Liverpool.

Pengendali kelahiran Belanda itu sebaliknya berharap pasukannya mampu menjaringkan lebih banyak gol daripada setiap lawan untuk bangkit lebih kuat daripada sebelumnya.

Baca Juga:

Selepas kekalahan memalukan 3-0 kepada Crystal Palace dalam saingan Carabao Cup di Anfield tempoh hari, pelbagai persoalan mula timbul mengenai kelemahan benteng pertahanan The Reds yang dilihat semakin rapuh.

Namun begitu, pengurus dari Belanda itu tetap bertegas bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan prinsip bola sepak menyerang yang dipegangnya walaupun kelemahan di bahagian pertahanan kini mula mengancam perjalanan Liverpool.

Liverpool belum mencatatkan sebarang ‘clean sheet’ dalam 10 perlawanan terakhir dan telah bolos terlebih dahulu dalam tujuh perlawanan berturut-turut.

Namun begitu, Slot tetap berpendirian teguh bahawa meninggalkan falsafah bola sepak menyerang akan menjadi satu kesilapan besar buatnya.

Slot
Kredit Foto: Kirill KUDRYAVTSEV / AFP)

Slot Takkan Ubah Falsafah Liverpool

“Memang ia bertentangan dengan falsafah saya, tetapi saya pernah memenangi perlawanan sebelum ini seperti ketika menentang Manchester City di tempat lawan yang juga bertentangan dengan kepercayaan saya.”

“Namun ketika itu ia perlu dilakukan pada separuh masa kedua,” ujar Slot menurut sumber laporan Goal.

“Saya tidak menolak untuk menyesuaikan pendekatan dalam situasi tertentu tetapi saya tidak fikir kisahnya ialah kami melepaskan peluang demi peluang atau terlalu terbuka dalam setiap perlawanan.”

“Mungkin kecuali ketika menentang Palace dan Brentford, dalam semua perlawanan lain kami sebenarnya layak memperoleh lebih daripada apa yang kami dapat dan kami jarang benar berdepan ancaman yang besar.”

“Saya tidak nampak sebab untuk mengubah gaya permainan kami sepenuhnya tetapi yang pasti kami perlu lebih baik dalam aspek tidak melepaskan gol mudah.”

“Malah dengan pasukan minggu ini [ketika bertemu Crystal Palace] yang pertama kali bermain bersama, saya rasa mereka hanya melepaskan tiga peluang besar tetapi malangnya semuanya menghasilkan gol.”

“Tapi itu kerana ia benar-benar peluang besar, bukan sekadar peluang biasa.”

Namun dalam masa sama, Slot mengakui satu kelemahan ketara dalam sistem pertahanannya dimana ia menjadi masalah berulang Liverpool ketika berdepan situasi bola mati.

Beliau mengakui bahawa para pemainnya kurang kekuatan fizikal dan tumpuan pada saat-saat penting perlawanan.

“Sudah tentu ia tidak membantu apabila anda menamatkan perlawanan menentang Manchester United dengan bolos hasil situasi bola mati, kemudian memulakan satu lagi perlawanan Premier League dan melepaskan gol menerusi lontaran ke dalam selepas lima minit pertama,” katanya.

“Saya tak pasti 100 peratus tapi saya diberitahu kami perlu bertahan sebanyak 16 situasi bola mati ketika menentang Brentford dan 15 daripadanya kami bertahan dengan baik.

“Namun pada masa ini, 15 tak cukup kerana kami tetap bolos pada satu lagi situasi. Untuk gol pertama itu, ada yang berkata kepada saya, ‘tiada pemain pun berjaya menahan sentuhan pertama,’ dan itu sedikit sebanyak menjelaskan betapa sukar keadaannya bila selepas lima minit sudah ketinggalan 1-0.

Ia langsung tidak membantu dari segi keyakinan dan juga pelan permainan asal kami.

“Tapi seperti yang saya katakan, kalau ada bahagian yang saya suka dalam perlawanan itu, ia adalah selepas kami bolos gol pertama.”

“Kami bermain kreatif, mencipta peluang, cuma gagal menjaringkan gol. Dan dalam 10 minit terakhir, permainan kembali dikuasai lawan.”

“Akhirnya, cara kami melepaskan gol kedua , itu jauh tersasar daripada standard kami,” tambah Slot lagi.

Sumber